MELAKA: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) meneruskan penganjuran Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) Khas Pasca Banjir di Johor yang kini memasuki musim kedua melibatkan 35 lokasi di sekitar negeri itu.

Pemangku Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri berkata program yang dianjurkan dengan kerjasama kerajaan Johor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri itu adalah antara langkah proaktif FAMA dalam memastikan bekalan bahan mentah khususnya sayur-sayuran mencukupi selain dijual pada harga berpatutan.

Beliau berkata bekalan barangan berkenaan diperoleh dari Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Selangor menerusi outlet peruncitan FAMA.

"Program ini telah bermula pada bulan lepas iaitu ketika banjir musim pertama tahun ini dan kini ia memasuki musim kedua. Kita teruskan di kawasan utama seperti di Muar, Segamat, Kota Tinggi dan akan ke Batu Pahat selepas ini nanti.

"Jualan ini diadakan di sesuatu kawasan selepas mangsa telah pulang ke rumah agar mereka boleh mendapatkan bekalan bahan mentah, sayur-sayuran, buah-buahan atau barangan dapur pada harga berpatutan," katanya kepada pemberita di sini lewat malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Penutup Program Agro MADANI FAMA Melaka 2023 yang turut dihadiri Pengarah FAMA Melaka Hairudin Yunos.

Abdul Rashid berkata JTDL Khas Pasca Banjir di Johor itu telah dianjurkan sebanyak 20 kali sejak Februari lepas dan sambutan yang diterima amat menggalakkan.

Sementara itu, Hairudin berkata hasil jualan Program Agro MADANI FAMA Melaka 2023 yang berlangsung selama tiga hari bermula Khamis mencatatkan kutipan lebih RM300,000, melepasi sasaran awal penganjurannya iaitu RM280,000.

Beliau berkata platform jualan terus itu disertai 50 usahawan tani Melaka yang menawarkan potongan harga sebanyak lima hingga 20 peratus dan kira-kira 200,000 pengunjung hadir ke program itu.

"Penganjuran program ini mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri Melaka yang turut memberikan sumbangan selain peruntukan daripada FAMA sendiri bagi melaksanakan jualan ini pada harga berpatutan.

"Selain itu, program jualan ini juga bertujuan mempromosikan produk usahawan tempatan kepada pengunjung program khususnya penduduk tempatan dan pelancong asing memandangkan Melaka ialah negeri pelancongan," katanya.

Beliau berkata Program Agro Madani FAMA Negeri Melaka diilhamkan berdasarkan konsep kesediaan menerima perubahan, dengan mengambil kira saranan segenap lapisan masyarakat dengan hasrat pemulihan melalui reformasi substantif demi Malaysia yang lebih maju dan makmur.

Katanya, program itu juga menjadi satu mercu tanda bagi FAMA yang menjadi agensi pertama di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyahut lontaran cabaran Kerajaan Perpaduan untuk menyemarakkan konsep Malaysia MADANI.

-- BERNAMA