MALAYSIA

Fan Bingbing beri bayangan bakal kembali ke Melaka September ini

Bernama 24/08/2025 | 11:00 MYT
Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam (kanan) mengurniakan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.SM) yang membawa gelaran Datuk kepada bintang filem terkemuka China, Datuk Fan Bingbing pada istiadat hari ini. - Foto Bernama
MELAKA: Bintang filem antarabangsa Fan Bingbing memberi bayangan bahawa beliau akan kembali ke Melaka bulan depan untuk melakukan 'kerja baharu'.


Ringkasan AI
  • Fan memberi bayangan akan kembali ke Melaka bulan depan untuk menyertai Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025.
  • Fan menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) sempena sambutan Hari Jadi ke-76 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.
  • Gelaran ini mengiktiraf sumbangan beliau dalam mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan global.


"Saya juga berharap dapat membawa lebih banyak cerita yang baik untuk Melaka," katanya ringkas ketika ditemui pemberita di Seri Negeri di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk sempena Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-76 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di sini hari ini.

Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam mengurniakan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.SM) yang membawa gelaran Datuk kepada bintang filem terkemuka China, Fan Bingbing. - Foto Bernama


Pada tahun lepas, Fan dilantik sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka dan kehadirannya selama tiga hari pada Jun 2024 berjaya melonjakkan sektor pelancongan negeri apabila terdapat 1.2 bilion carian mengenai dirinya dan Melaka.

Fan, yang mempunyai kira-kira 63 juta pengikut di Weibo (platform media sosial di China mirip X) dan 4.1 juta pengikut Instagram, lazimnya ditonjolkan sebagai wajah kebudayaan China di peringkat global.

Selain filem China, beliau juga pernah membintangi filem adiwira Hollywood, 'X-Men: Days of Future Past', selain filem Perancis dan Korea.

Pada 2017, Fan menghiasi kulit majalah Time dan beliau turut dinamakan sebagai antara 100 Orang Paling Berpengaruh.

-- BERNAMA




#Fan Bingbing #bintang filem China #promoxi Melaka #anugerah Datuk #Pingat Kebesaran Negeri Melaka