Dua buah farmasi di daerah Kulai dan Johor Bahru dikenakan kompaun setelah didapati menjual penutup hidung dan mulut dengan harga yang tinggi daripada yang dibenarkan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor Mohd Hairul Anuar Bohro berkata kedua-dua farmasi itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Katanya farmasi di Kulai itu dikenakan kompaun sebanyak RM500 pada 30 Jan lepas, manakala sebuah lagi farmasi di bandar raya ini pula dikenakan kompaun iaitu sebanyak RM10,000, semalam.

"Susulan penularan jangkitan novel koronavirus 2018, permintaan terhadap penutup hidung dan mulut di pasaran telah meningkat dan berikutan itu kita telah memeriksa sebanyak 135 premis termasuk farmasi dan kedai ubat-ubatan.

"Hasil pemeriksaan didapati dua buah premis menjual barangan itu melebihi harga yang ditetapkan dan tindakan kompaun telah dikenakan," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Hairul berkata terdapat lima jenis penutup hidung dan mulut yang ditetapkan sebagai barangan harga terkawal dan premis perniagaan yang menjual melebihi harga yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Beliau berkata. penutup mulut dan hidung bagi pembedahan atau perubatan dengan satu lapisan dan gelung telinga dijual dengan RM5 sekotak bagi harga borong manakala RM7 sekotak bagi harga runcit.

Bagi penutup hidung dan mulut dua lapisan dan gelung telinga pula ialah RM8 sekotak (harga borong) dan harga RM10 sekotak (harga runcit).

Sementara itu, katanya penutup hidung dan mulut yang mempunyai tiga lapisan dengan ikatan pada kepala dijual dengan RM30 sekotak (harga borong) dan 80 sen seunit (harga runcit) manakala, penutup hidung dan mulut N95 dijual dengan RM100 sekotak (harga borong) dan RM6 seunit (harga runcit).

-- BERNAMA