KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Fasa 1 inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang bermula sejak 2020 hingga 2022 dijangka melibatkan kos RM28 bilion, kata Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus.

Beliau berkata 60 peratus daripada jumlah kos itu dibiayai pihak komersial manakala selebihnya adalah dari pihak kerajaan melalui Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat.

"Fokus MCMC terhadap JENDELA ialah supaya perbelanjaan yang digunakan untuk pelaksanaan inisiatif ini secara swasta dan kerajaan...kita pantau setiap perbelanjaan ini, dari segi mereka (swasta) perlu menyampaikan segalanya barulah mereka boleh membuat tuntutan daripada kerajaan.

"MCMC memastikan semuanya berfungsi dengan baik," katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk "Kesalinghubungan Berkualiti Kesejahteraan Rakyat" terbitan Bernama TV malam tadi.

Beliau juga berkata selain itu, MCMC bekerjasama dengan pihak kerajaan negeri mengenai jumlah perbelanjaan untuk pelaksanaan JENDELA di negeri masing-masing.

"MCMC turun ke negeri dan mereka nak tahu berapa perbelanjaan untuk negeri mereka. Kami juga mempunyai butirannya dan kami berkongsi dengan mereka kerana kita nampak pihak negeri merupakan pihak berkepentingan utama bila nak lancarkan (JENDELA) di setiap satu negeri itu," katanya.

JENDELA dirangka bagi memberi liputan meluas dan pengalaman kualiti jalur lebar lebih baik untuk rakyat sebagai langkah siap siaga negara beralih kepada teknologi 5G, yang dilaksanakan secara berperingkat dengan Fasa 1 bermula dari 2020 hingga 2022 dan Fasa 2 dari 2022 hingga 2025.

-- BERNAMA