KUALA LUMPUR:Negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan hingga pertengahan Mac depan, dengan taburan hujan agak rendah di Semenanjung Malaysia, terutamanya di utara Semenanjung.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon berkata, bagaimanapun MetMalaysia tidak menjangkakan keadaan cuaca panas luar biasa berlaku pada tahun ini.

"Taburan hujan yang rendah dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan cuaca agak panas, terutamanya pada waktu malam, apabila terdapatnya litupan awan. Cuaca panas yang dialami pada ketika ini adalah satu fenomena biasa, sepanjang tempoh Februari hingga April setiap tahun.

"Hingga kini, suhu tertinggi bagi bulan Februari lebih rendah berbanding tahun lalu. Suhu tertinggi pada Februari ini ialah 36.2 darjah Celcius, manakala pada tahun lepas ialah 37.4 darjah Celcius yang dicerap di Stesen Meteorologi Kuala Kangsar, Perak," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Jailan berkata keadaan cuaca agak panas yang dialami di kebanyakan kawasan dalam tempoh ini, dijangka beransur reda bermula pertengahan April depan.

"Dalam keadaan cuaca panas, semua pihak dinasihatkan supaya mengambil langkah penjimatan dalam penggunaan air. Orang ramai juga dinasihatkan untuk mengelak melakukan aktiviti pembakaran terbuka, mengurangkan aktiviti-aktiviti di luar dan minum air secukupnya. MetMalaysia sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara," katanya.

Beliau juga menyarankan orang ramai agar sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial MET Malaysia.

-- BERNAMA