KUALA BERANG: Kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira) dalam kalangan anak Orang Asli kini menjadi fokus pelaksanaan fasa dua projek Sekolah Rimba (Jungle School) oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu, di sini.

Ketua projek Prof Dr Khatijah Omar berkata fokus dalam fasa yang bermula April lepas itu dibuat menerusi penekanan kepada elemen 3M yang lain iaitu muzik, makan dan main, hasil kerjasama padu Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dalam usaha mengurangkan jurang pendidikan dalam kalangan anak Orang Asli.

Fasa dua melibatkan sembilan pensyarah termasuk dua ahli geran Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), dua pembantu penyelidik dan mahasiswa UMT sebagai tenaga pengajar meneruskan modul santai sebelum ini iaitu 'Jom Ke Pasar Borong' untuk subjek Matematik dan 'Jom Masuk Hutan' bagi mata pelajaran Sains, selain Bahasa Melayu dan Inggeris.

Beliau berkata elemen main, makan dan muzik diselitkan di antara sesi pembelajaran bagi menarik minat pelajar yang menurutnya mempunyai pengekalan kuasa yang singkat.

"Dalam fasa satu yang bermula pada Ogos 2021 hingga Julai tahun lepas, kami beri penekanan kepada keterlibatan bina keyakinan diri dan tarik minat anak Orang Asli untuk belajar dengan pengisian tertumpu kepada ilmu Alam dan Kehidupan.

"Sambutan pelajar ketika itu sangat menggalakkan...termasuk ibu bapa yang beri kepercayaan kepada kami sebab kita tahu mereka ini susah percaya orang luar, namun akhirnya benarkan kami untuk bersama anak mereka jalankan aktiviti pembelajaran ini," katanya ketika ditemui di Sekolah Rimba, di sini, baru-baru ini.

Berkongsi kejayaan fasa satu, beliau yang juga Timbalan Pengarah Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari (IBTPL) UMT berkata projek tersebut mencatatkan penglibatan seramai 40 murid berumur enam hingga 12 tahun dengan kehadiran tertinggi seramai 38 orang.

Katanya, ia juga mencapai sasaran awal dengan pelajar mencatatkan hingga 85 peratus penguasaan dalam aspek alam dan kehidupan serta komunikasi mengikut silibus Sekolah Rimba, meskipun mengakui murid-murid tersebut masih terkebelakang jika dibandingkan dengan pencapaian pelajar kawasan lain.

"Guru-guru Sekolah Kebangsaan Berua juga mengakui pelajar kini makin berani untuk bercakap di dalam kelas setelah pelaksanaan projek Sekolah Rimba ini yang dibuat dua kali sebulan, bergantung kepada kekangan kewangan dan pengajar.

"Dan disebabkan pengisian fasa satu yang cenderung kepada Alam dan Kehidupan jugalah membolehkan Sekolah Rimba terpilih sebaga satu daripada geotapak di Geopark Kenyir pada Mei tahun lepas," katanya sambil menambah pelajarnya kini ada yang berusia 13 tahun setelah program menengah untuk Tingkatan 1 telah dibuka di sekolah berkenaan.

Dijalankan dengan menggunakan pelbagai sumber kewangan termasuk sumbangan individu sejak fasa satu, beliau berkata pelajar pada fasa dua dikelaskan mengikut tahap penguasaan 3M, misalnya kemahiran membaca dengan tahap satu untuk yang belum mahir sehingga tahap empat iaitu yang telah lancar membaca.

Menariknya, beliau berkata projek tersebut kini mempunyai 11 pelajar yang berada di tahap empat.

"Kami jangkakan fasa dua Sekolah Rimba ini akan berlangsung sehingga April tahun depan, bergantung kepada keadaan kewangan, namun Alhamdulilah, dana sentiasa masuk daripada individu dan agensi.

"Kami juga sedang merancang untuk projek Digital Jungle School bagi fasa tiga bermula Mei 2025. Yang ini, pihak Exxon Mobile yang turut menyumbang dalam projek ini sedang usahakan agar rangkaian internet tersedia by 2025. Sudah tiba masanya anak Orang Asli juga menikmatinya," katanya.

Beliau berkata mereka juga sedang membentuk modul dan mengumpul rakan strategik untuk memulakan projek dengan remaja Orang Asli lepasan sekolah atas permintaan komuniti itu sendiri pada September atau Oktober tahun ini.

"Remaja di Sungai Berua ini majoriti tidak sambung ke sekolah menengah, jadi ada baiknya program untuk kumpulan ini juga," katanya yang berterima kasih dengan kerjasama pelbagai pihak kerajaan dan swasta termasuk Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sebagai ahli kolaborasi Sekolah Rimba.

-- BERNAMA