Fasa kedua projek tukun tiruan bernilai RM30 juta bermula tahun depan - Awang Tengah

Shafik Ahmad
Disember 1, 2022 04:00 MYT
Program Tukun Tiruan Fasa I bernilai RM70 juta siap dilaksanakan pada 19 September 2022. -Gambar fail/Sarawak Forestry Corporation
KUCHING: Kerajaan Sarawak telah meluluskan Fasa 2 Projek Tukun Tiruan dengan kos berjumlah RM30 juta dan akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 2023.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ia susulan kejayaan fasa pertama program tersebut yang siap dilaksanakan September tahun ini.
“Program Tukun Tiruan Fasa I yang bernilai RM70 juta yang meliputi kawasan persisiran pantai sepanjang 1,000 kilometer telah siap dilaksanakan pada 19 September 2022.
“Susulan itu, fasa kedua projek berkenaan akan dilaksanakan bermula tahun depan dengan kos RM30 juta,” katanya.
Dalam fasa pertama projek berkenaan, sejumlah 16,800 tukun tiruan telah dilabuhkan.
Kata Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua, dapatan awal menunjukkan penanaman tukun tersebut berupaya meningkatkan hasil tangkapan oleh nelayan tempatan.
Beliau berkata demikian semasa dalam ucapan penggulungan kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, di sini, pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menjawab isu yang dibangkitkan oleh Mohd Chee Kadir (GPS-Kabong) mengenai fasa pertama projek berkenaan di kawasan perairan dalam DUN Kabong.
“Sejumlah 960 unit tukun telah dilabuhkan di dalam 48 kluster di perairan laut sepanjang 56 kilometer di antara Kuala Sungai Krian hingga ke Kuala Rajang pada September hingga Oktober tahun 2021.
“Salah satu objektif tukun tiruan ini dilabuhkan adalah untuk melindungi kawasan penangkapan secara tradisi oleh nelayan tempatan daripada ancaman pukat tunda haram,” jelasnya.
#Fasa 2 Projek Tukun Tiruan #reef ball #Awang Tengah Ali Hasan #Kerajaan Sarawak