Beliau berkata permulaan fasa itu menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 17 Mei lepas dan rantau negara diramal akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah.
"Situasi ini boleh menggalakkan kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.
"Keadaan cuaca sebegini berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, MetMalaysia menasihati orang ramai untuk lebih berwaspada sepanjang tempoh tersebut serta sentiasa peka mengikuti ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh pihaknya melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan.
Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.
-- BERNAMA