Skip to main content

Malaysia

Fasa peralihan monsun redakan cuaca panas, hujan lebat dijangka petang hingga malam - Arthur

heavy rain on roof of wooden house, rainy season -- Adobe Stock Image
Arthur menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan perubahan cuaca yang mendadak dan mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi METMalaysia. - Gambar hiasan/Adobe Stock

PUTRAJAYA: Malaysia kini memasuki fasa peralihan monsun bermula 29 Mac hingga Mei ini yang dijangka membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam tempoh singkat sekali gus membantu meredakan fenomena cuaca panas yang melanda negara sejak kebelakangan ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata fenomena cuaca panas ketika ini adalah rutin tahunan yang lazimnya bermula pada penghujung Monsun Timur Laut hingga bulan Jun akibat kurangnya litupan awan terutama di utara Semenanjung Malaysia.

Advertisement

"Kehadiran fasa peralihan monsun dijangka membawa kekerapan hujan lebat berserta angin kencang dalam tempoh yang singkat, khususnya pada waktu petang hingga awal malam.

"Keadaan ini dijangka berlaku di kebanyakan kawasan di sebelah barat dan utara Semenanjung, kawasan pedalaman Semenanjung serta Sarawak dan Sabah," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata situasi cuaca lembap itu bukan sahaja dapat meredakan suhu panas yang melanda malah amat penting dalam membantu meningkatkan semula paras air empangan di beberapa kawasan terjejas.

Arthur berkata berdasarkan pemantauan terkini Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), terdapat pengurangan ketara bagi kawasan yang merekodkan suhu melebihi 35 darjah Celsius.

“Buat masa ini, hanya lapan kawasan di Semenanjung Malaysia yang masih berada pada Tahap 1 atau Status Berjaga-jaga, di mana suhu maksimum harian mencecah antara 35 darjah Celsius hingga 37 darjah Celsius bagi tempoh tiga hari berturut-turut.

“Ini menunjukkan keadaan cuaca panas yang ekstrem mulai beransur pulih selari dengan perubahan fasa monsun,” katanya.

Sebagai langkah proaktif untuk memastikan simpanan air di empangan kekal stabil, beliau berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara dengan kerjasama teknikal METMalaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia akan menjalankan Operasi Pembenihan Awan.

"Operasi ini dijadualkan berlangsung dari 6 hingga 9 April ini, yang memfokus kepada negeri di utara Semenanjung dan Johor bagi menyokong peningkatan paras air empangan demi keperluan rakyat," katanya.

Sehubungan dengan itu, Arthur menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan perubahan cuaca yang mendadak dan mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi METMalaysia.

Beliau berkata kerajaan turut komited untuk terus memantau keadaan bagi memastikan kesejahteraan alam sekitar dan kelestarian sumber air negara sentiasa terpelihara.

-- BERNAMA

Must Watch Video