Skip to main content

Malaysia

Fashion Valet terima RM19.5 juta daripada Khazanah pada Mac 2018, mahkamah diberitahu

KUALA LUMPUR, 18 Ogos -- Pengasas FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar yang berdepan pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta, hadir pada perbicaraan mereka di Mahkamah Sesyen hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pengasas FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar yang berdepan pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah dan PNB, hadir pada perbicaraan mereka di Mahkamah Sesyen hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) telah membuat dua transaksi pemindahan wang berjumlah kira-kira RM19.5 juta ke akaun milik syarikat fesyen tempatan, Fashion Valet Sdn Bhd (Fashion Valet), pada Mac 2018.

Pengurus Cawangan CIMB Bank Berhad (CIMB) Cawangan Menara KL Sentral Lee Hui Nee, 58, berkata hasil semakan ke atas penyata akaun CIMB milik Khazanah mendapati transaksi pertama berjumlah RM7,848,000 direkodkan pada 23 Mac 2018 manakala transaksi kedua melibatkan RM11,742,000 pada 26 Mac 2018.

"Jumlah keseluruhan pemindahan wang bagi kedua-dua transaksi tersebut berjumlah RM19,590,000.

"Pembayaran bagi kedua-dua transaksi ini telah dilakukan melalui pemindahan wang secara rentas bank daripada akaun CIMB milik Khazanah kepada akaun Public Bank milik Fashion Valet Sdn Bhd," katanya.

Saksi pendakwaan keempat itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada hari keempat perbicaraan kes pengasas Fashion Valet, Datin Vivy Sofinas Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar yang berdepan pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta.

Lee menjelaskan pemindahan wang dibuat mengikut prosedur operasi standard bank selepas menerima surat arahan yang ditandatangani penandatangan sah Khazanah, selain pengesahan melalui panggilan telefon dengan pegawai yang diberi kuasa Khazanah.

Beliau mengesahkan bahawa hasil semakan lanjut ke atas penyata akaun Khazanah bagi tempoh antara 31 Jan 2017 hingga 31 Dis 2019 menunjukkan tiada sebarang pemindahan wang lain dilakukan ke akaun Fashion Valet selain daripada dua transaksi pada Mac 2018 itu.

Terdahulu, Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) R. Harshini, 36, mengesahkan tiada sebarang rekod pertukaran status atau peletakan jawatan oleh Vivy Sofinas dan Fadzaruddin sebagai pengarah syarikat dalam sistem pendaftaran korporat sepanjang tempoh 2012 hingga 2024.

Harshini berkata semakannya mendapati Vivy Sofinas dilantik sebagai Pengarah Fashion Valet pada 29 Sept 2010, Fadzarudin Shah pada 13 Dis 2012, manakala kedua-duanya dilantik sebagai pengarah 30 Maple Sdn Bhd secara serentak pada 9 Dis 2013 dan kekal sehingga 2024.

Bagaimanapun, saksi mengesahkan terdapat siri peletakan jawatan dan pertukaran pengarah lain dalam Fashion Valet direkodkan dalam sistem SSM sepanjang tempoh berkenaan iaitu Datin Aishah Mohd Jelani yang merupakan pengarah terawal meletak jawatan pada 29 Sept 2010, diikuti Wong Thean Soon pada 12 April 2018.

Harshini berkata Chong Yit Phin dan Intan Safina Yusof masing-masing meletak jawatan pada 15 Mac dan 27 Mac 2019, manakala Arshad A Ahmed  pada 27 Julai 2023 dan peletakan jawatan terakhir melibatkan Benjamin Low Ewe Ee serta Nurul Iman Mohd Zaman pada 9 Jan 2024.

Vivy, 38, dan Fadzarudin, 37, didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah Fashion Valet melakukan pecah amanah ke atas dana pelaburan Khazanah dan PNB dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat Fashion Valet kepada syarikat 30 Maple tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat Fashion Valet.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara Bukit Damansara di sini pada 21 Ogos 2018, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mereka juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu dengan niat bersama secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik Fashion Valet iaitu dana pelaburan Khazanah dan PNB berjumlah RM8 juta, di lokasi dan tarikh sama.

Pasangan suami isteri itu dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebat dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung 16 Okt ini.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement