MALAYSIA

Felcra disyor kaji semula perolehan ladang sawit, pastikan pelaburan menguntungkan - LKAN

Bernama 21/07/2025 | 08:40 MYT
LKAN mengesyorkan agensi berkenaan agar membuat penambahbaikan proses tadbir urus dan semua keputusan berkaitan perolehan ladang sawit diputuskan secara kolektif. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Jabatan Audit Negara mencadangkan perolehan ladang sawit di bawah Pelan Transformasi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) Berhad dikaji semula bagi memastikan pelaburan memberikan 'value for money' berdasarkan kemampuan kewangannya.


Ringkasan AI
  • Jabatan Audit Negara mencadangkan FELCRA Berhad mengkaji semula perolehan ladang sawit agar pelaburan memberi pulangan berbaloi berdasarkan kemampuan kewangan, dengan Lembaga Pengarah disaran bertanggungjawab memastikan keputusan dibuat secara kolektif dan selaras dengan tatakelola serta Perlembagaan Syarikat.
  • Audit menyarankan penambahbaikan Manual Perolehan termasuk pelantikan perunding luar berkelayakan untuk penilaian daya maju dan nilai pasaran sebelum sebarang keputusan pelaburan dibuat, serta penetapan garis masa minimum antara kelulusan dan pelaksanaan perjanjian.
  • Kajian menyeluruh perlu dilakukan terhadap aspek kewangan dan aset ladang sebelum kelulusan dimuktamadkan; kelemahan tatakelola dikenal pasti dalam perolehan pajakan empat ladang sawit bernilai RM241.76 juta antara 2022 hingga 2024.


Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, Lembaga Pengarah FELCRA Berhad disyorkan supaya bertanggungjawab memastikan perolehan ladang sawit adalah teratur selaras dengan kewajipan fidusiari serta amalan tatakelola yang baik.

Selain itu, pihak audit juga mengesyorkan agensi berkenaan agar membuat penambahbaikan proses tadbir urus dan semua keputusan berkaitan perolehan ladang sawit diputuskan secara kolektif dan selaras dengan resolusi terdahulu serta Perlembagaan Syarikat.

"Sebarang perubahan kepada keputusan Lembaga Pengarah perlu direkod dan mendapat pengesahan melalui resolusi baharu yang jelas serta diminitkan secara teratur dan didokumenkan dengan sewajarnya oleh Setiausaha Syarikat selaras dengan Constitution of FELCRA Berhad.

"Selain itu, FELCRA Berhad juga perlu menetapkan garis masa minimum antara kelulusan dan pelaksanaan perjanjian untuk memberi ruang penilaian risiko dan semakan sewajarnya," menurut laporan itu.

Turut disyorkan adalah pindaan Manual Perolehan yang berkuat kuasa pada September 2024 perlu ditambah baik meliputi pelantikan perunding luar yang berkelayakan bagi melaksanakan penilaian daya maju serta penilaian nilai pasaran secara objektif sebelum membuat sebarang keputusan perolehan.

Laporan perunding luar tersebut mesti dibentang kepada Lembaga Pengarah sebagai dokumen sokongan penting dalam membuat keputusan pelaburan.

Selain itu, kajian menyeluruh perlu dilaksanakan bagi menilai aspek kewangan seperti titik pulang modal, pulangan pelaburan (ROI), kos tersembunyi, liabiliti pajakan, dan keperluan pemulihan fizikal sebelum memuktamadkan sebarang kelulusan.

"Pemeriksaan dan perakuan status aset alih dilaksanakan sebelum dan semasa proses penyerahan vacant possession ladang kelapa sawit bagi memastikan pemilikan aset seperti yang disenaraikan dalam perjanjian.

"Pengesahan aset fizikal, penyediaan daftar aset yang lengkap ke atas semua jentera dan kemudahan ladang turut dilaksana sebagaimana dinyatakan dalam perjanjian berkenaan," menurut laporan itu.

Laporan penuh boleh diakses di pautan https://lkan.audit.gov.my/.

Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam kenyataan hari ini berkata terdapat kelemahan tatakelola terhadap perolehan pajakan empat ladang sawit oleh FELCRA Berhad iaitu Estet Telupid, Sabah dan Estet Dabong, Estet Sungai Raiwt 2 serta Estet Aring di Kelantan melibatkan nilai RM241.76 juta antara 2022 hingga 2024.

-- BERNAMA


#LKAN #FELCRA #ladang sawit #Lembaga Pengarah Felcra