PUTRAJAYA: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bakal memberi penekanan lebih mendalam kepada pengamalan ekonomi kitaran dalam semua sektor menerusi Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024.

KEB 2024 dijadual berlangsung pada 29 Feb hingga 2 Mac ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC) di sini menyasarkan penyertaan 3,000 peserta dan akan disertai wakil dari dewan perniagaan Melayu, Kadazan, Dusun, Iban dan Dayak serta wakil komuniti Orang Asli.

Berkongsi perspektif Felda dalam KEB 2024 kali ini, Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berpendapat Malaysia harus membangunkan peta hala tuju ke arah perlaksanaan ekonomi kitaran yang lebih menyeluruh.

"Mungkin bukan untuk setahun dua ini tetapi mesti diadakan dalam jangka masa tertentu.

"Sekiranya ia dilaksanakan pemilik tanah yang besar seperti Felda dan FGV Holdings Bhd akan ada banyak pilihan dalam meningkatkan peluang pendapatan baharu mereka," katanya kepada Bernama.

Konsep ekonomi kitaran merupakan konsep guna, pulang dan cipta semula untuk memaksimumkan penggunaan dan hasil.

Ahmad Shabery berkata penerapan perspektif berbeza mengenai ekonomi kitaran adalah perlu supaya warga Felda dapat menjana pendapatan baharu.

"Selama ini peneroka diminta meningkatkan produktiviti dari segi hasil keluaran buah tandan segar (BTS/FFB). Kalau mencapai purata 25 tan setahun sudah dianggap baik, pulangan untuk mereka ialah RM700-800 per tan mengikut harga BTS semasa.

"Di peringkat kilang pula, produktiviti dilihat dari segi kadar perahan (OER). Sebanyak 23 peratus dari jumlah FFB yang dihantar juga dianggap baik," katanya.

Beliau berkata ketika ini, banyak syarikat pengeluar tenaga mengejar bekalan biojisim yang banyak terdiri daripada hampas perahan yang dipanggil tandan kosong (EFB) serta tempurung kernel yang juga boleh jadi bahan bakar.

"Oleh sebab ia adalah hasil barang kitar semula, pengusaha akan dapa kredit karbon yang boleh menambahkan margin hasil mereka.

"Sebab itu, harga EFB boleh menjadi lebih mahal daripada harga arang batu. Begitu juga dengan sisa-sisa lain contohnya abu sabut sawit boleh jadi baja. Air kumbahan yang dulu dianggap pencemar alam boleh diproses menjadi minyak kapal terbang (SAF)," katanya.

Ahmad Shabery berkata tahi minyak sawit juga boleh menjadi asas makanan ternakan yang harganya semakin tinggi.

"Namun begitu semua sisa ini belum ditentukan harga secara menyeluruh. Kilang menganggap ia miliknya dan boleh dijual mengikut kemahuan masing-masing.

"Belum ada pasaran harga sisa sawit yang kredible sama ada di pasaran pertukaran komoditi mahupun garis panduan yang dibuat oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)," katanya.

Secara peribadi, beliau berkata satu garis panduan perlu dibangunkan dan mekanisme memberi pulangan kepada pengeluar sawit perlu dipertimbang supaya pendapatan peneroka dan pekebun kecil tidak hanya kepada buah sawit yang dinilai daripada 20 peratus perahan.

"Sedangkan sisa yang bernilai tinggi langsung tidak diambil kira. Banyak negara sudah mengenakan cukai karbon kepada mana-mana industri yang melepaskan karbon ke alam sekitar kita.

"Industri ini terpaksa menebus cukai dengan membeli sijil kredit karbon daripada mereka yang melaksanakan program kitar semula atau apa-apa langkah mengurangkan pengeluaran karbon," katanya.

Sebanyak 10 kluster meliputi 10 sektor akan diwujudkan pada KEB 2024 iaitu Reformasi Pendidikan dan Modal Insan, Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional Pilihan Kerjaya Utama dan Pengukuhan Industri Halal.

Kluster lain ialah Pembangunan Desa dan Pemerkasaan Masyarakat Orang Asli, Penciptaan Kekayaan dan Penguasaan Korporat, Daya Saing Perusahaan Bumiputera, Penguasaan Teknologi Baharu, Felda dan Tanah Wilayah, Sosioekonomi Bumiputera Sabah serta Sosioekonomi Bumiputera Sarawak.

-- BERNAMA