NATIONAL
FELDA lancar Damar Berkat: PMS, elak ketirisan hasil sawit
PMS Damar Berkat akan menjadi pusat mengumpul sawit pertama yang menggunakan lori EV dalam pengumpulan hasil, sekali gus membuka ruang kepada FELDA untuk meneroka potensi perniagaan karbon pada masa hadapan. - Foto FELDA
KUANTAN: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menggunakan inisiatif baharu melalui penggunaan lori elektrik dengan penjejak GPS, sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan ketirisan.
Ia diperkenalkan selaras dengan pelancaran pusat pengumpulan hasil sawit bersepadu Damar Berkat: Pusat Mengumpul Sawit (PMS) di Felda Bukit Damar, Pahang pada Khamis.
Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sistem kebolehjejajakan dan teknologi lebih bersepadu oleh syarikat Sustainable Future Sdn Bhd dapat memastikan pengangkutan hasil hanya ke kilang dan pusat pengumpulan FELDA.
"FELDA mengambil inisiatif dengan mengunakan sistem kebolehjejakan dan teknologi lebih bersepadu serta mampan bagi mengurangkan ketirisan. Harapan kami, langkah itu akan memberi pulangan secara terus kepada peneroka.
“Data hasil ini menjadi pangkalan maklumat penting untuk strategi pasaran, subsidi dan logistik, sekali gus memperkukuh daya saing FELDA dalam sektor agrikomoditi negara.
“Sebelum ini, KPF pernah mengalami kejatuhan dividen ekoran kelemahan dalam sistem agihan hasil. Dengan pembaharuan ini, FELDA mensasarkan pemulihan semula kekuatan koperasi sebagai nadi pembangunan ekonomi komuniti peneroka,” katanya.
Ahmad Shabery menambah sistem baharu itu juga akan memastikan setiap hasil sawit ditimbang, direkod secara digital dan dipantau dalam sistem telus yang dikendalikan oleh Koperasi Permodalan FELDA (KPF).
Dalam pada itu, beliau berkata, pelancaran Damar Berkat: PMS disifatkan sebagai titik permulaan kepada reformasi besar-besaran dalam pengurusan hasil peneroka, yang sebelum ini menjadi mangsa kepada rantaian sistem tidak telus didalangi peraih, sindiket penimbang serta ejen luar.
Tegasnya, FELDA tidak boleh lagi berdiam diri kerana ketirisan yang berlaku bukan sahaja merugikan peneroka secara individu, malah syarikat itu secara keseluruhan dengan anggaran kerugian mencecah RM200 juta setahun.
“Sistem lama telah membuka ruang kepada “singa, buaya dan gajah” yang menindas peneroka melalui manipulasi harga dan penipuan timbangan. Peneroka kerja siang malam, tetapi hasilnya orang lain kaut.
“Mereka (peraih) memanipulasi hasil sawit, ambil untung tanpa usaha, sawit ‘hilang’ di tengah jalan malah pembayaran tidak telus. Situasi ini telah melemahkan kedudukan koperasi dan menjejaskan ekosistem pembangunan luar bandar,” kata Ahmad Shabery.
Selain itu, Ahmad Shabery turut menekankan bahawa Damar Berkat bukan sekadar pusat pengumpulan fizikal, tetapi simbol perjuangan mengembalikan maruah dan hak peneroka yang pernah terabai.