Skip to main content

Malaysia

Felda perkenal biodiesel B100, langkah perluas penggunaan bahan api alternatif

Biodiesel B100_Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)
Ahmad Shabery selepas sesi taklimat eksklusif Projek Perintis Pelaksanaan Biodiesel B100, hari ini. - Gambar Felda

KUANTAN: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan menjadikan kawasan Felda di negara ini antara lokasi terawal penggunaan biodiesel B100, sekali gus menandakan langkah penting dalam usaha memperluas penggunaan bahan api alternatif di Malaysia.

Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata penggunaan bahan api berkenaan, akan dilaksanakan di kawasan kilang syarikat FGV dalam waktu terdekat bagi kegunaan pelbagai kenderaan milik Felda seperti pacuan empat roda, lori, jentera perladangan dan jengkaut.

Advertisement

“Kita akan mula gunakan B100 dalam ekosistem Felda terlebih dahulu, khususnya berhampiran kilang bagi tujuan ujian dan logistik sebelum diperluas ke kawasan lain,” katanya dalam sidang media selepas sesi taklimat eksklusif Projek Perintis Pelaksanaan Biodiesel B100, di sini hari ini.

Beliau berkata penghasilan biodiesel B100, iaitu bahan api yang menggunakan 100 peratus minyak sawit tanpa campuran bahan api fosil merupakan satu pencapaian besar, yang bukan sahaja memberi kesan besar kepada FGV malah kepada kedudukan Malaysia pada peringkat global.

“Apabila kita umumkan hal ini, ia bukan lagi dilihat sebagai kejayaan syarikat semata-mata, tetapi keupayaan negara menghasilkan biodiesel sepenuhnya daripada sumber sendiri,” katanya.

Ahmad Shabery berkata langkah memperkenalkan penggunaan B100 di Felda juga bertujuan meningkatkan keyakinan terhadap kebolehgunaan bahan api itu dalam operasi sebenar, selain membuktikan keupayaan negara mengurangkan kebergantungan kepada bahan api import.

“Penggunaan biodiesel bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar melalui pengurangan pelepasan karbon, malah berpotensi meningkatkan pendapatan peneroka dan pekebun kecil melalui peningkatan permintaan terhadap minyak sawit,” katanya.

Beliau berkata Malaysia merupakan pengeluar kedua terbesar minyak sawit dunia dengan pengeluaran kira-kira 20 juta tan setahun, namun penggunaan domestik bagi tujuan tenaga masih rendah berbanding eksport.

Sehubungan itu, Ahmad Shabery berkata peningkatan penggunaan biodiesel boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian bagi mengurangkan kebergantungan penjualan minyak sawit ke pasaran luar yang berdepan pelbagai syarat ketat seperti keperluan kelestarian dan kuota perdagangan.

Dalam jangka masa panjang, beliau berkata peluasan penggunaan biodiesel ke seluruh negara bergantung kepada dasar kerajaan serta peningkatan kapasiti pengeluaran, termasuk pembinaan lebih banyak loji pemprosesan.

“Kita mulakan dalam skala kecil di Felda, tetapi jika dasar dan kapasiti dapat dipertingkat, tidak mustahil ia boleh diperluas ke peringkat nasional,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video