KUALA LUMPUR: Felda perlu menetapkan satu hala tuju baharu yang jelas supaya dapat terus beroperasi dengan prestasi kewangan yang kukuh tanpa kebergantungan tinggi kepada bantuan dan sokongan kewangan kerajaan Persekutuan.

Perkara itu disyorkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2022 yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini bagi menambah baik tunai dan kesetaraan tunai Felda.

Laporan itu turut mencadangkan Felda untuk meningkatkan pemantauan terhadap operasi dan prestasi kewangan syarikat subsidiarinya bagi memastikan kelestarian syarikat dapat dikekalkan tanpa bergantung kepada agensi induk, seterusnya mampu memberi pulangan yang baik kepada Felda.

Menurut laporan itu, penyata kewangan 2022 menunjukkan Felda mengalami kerugian bersih berjumlah RM1.005 bilion, manakala kedudukan tunai dan kesetaraan tunai Felda ialah RM0.808 bilion.

"Felda mempunyai komitmen signifikan berjumlah RM1.561 bilion, iaitu liabiliti tanam semula berjumlah RM0.753 bilion dan geran kerajaan Persekutuan yang belum dibelanjakan berjumlah RM0.808 bilion," menurut laporan itu.

Berdasarkan penyata kewangan sama, baki pinjaman daripada institusi luar Felda berjumlah RM8.659 bilion dibuat bagi penstrukturan semula pinjamannya pada 2018 hingga 2022, manakala di peringkat Kumpulan Felda jumlah pinjaman daripada kerajaan dan institusi kewangan ialah RM15.117 bilion.

Felda dalam maklum balasnya menjelaskan satu pasukan petugas khas dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri telah diwujudkan untuk merangka pelan pemulihan Felda supaya ia terus kekal dalam industri.

Kerajaan menurut Felda juga, bersetuju menyuntik RM1 bilion untuk tempoh tujuh tahun bagi menyelesaikan hutang sukuk dan pinjaman Kredit Pusingan Jaminan Kerajaan (GGRC).

-- BERNAMA