FEM 2026: RESET langkah penting pemodenan sistem kesihatan negara

Dzulkefly menjelaskan penubuhan Dana Kesihatan Nasional bertujuan menyatukan pembiayaan kesihatan negara yang kini berpecah-pecah kepada satu mekanisme yang lebih mampan dan terjamin. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Malaysia mengambil langkah berani dalam memodenkan sistem penjagaan kesihatan negara menerusi inisiatif RESET, satu pendekatan menyeluruh yang bertujuan memulihkan ekosistem insurans dan takaful serta mewujudkan pembiayaan kesihatan yang lebih mampan, bersepadu dan bersedia untuk masa depan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, antara teras utama inisiatif tersebut ialah cadangan penubuhan Dana Kesihatan Nasional serta pelaksanaan Rekod Perubatan Elektronik (EMR) nasional yang boleh dikendalikan secara menyeluruh.
Menurut beliau, RESET bukan sekadar penambahbaikan kecil, sebaliknya merupakan reformasi berskala nasional yang melibatkan kerjasama rentas kementerian dan sektor, termasuk Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, penyedia insurans dan takaful, serta jawatankuasa pakar yang terdiri daripada doktor, ahli ekonomi kesihatan dan perancang kewangan.
“Insurans semata-mata tidak mencukupi untuk menjamin kemampanan kewangan sistem kesihatan. Ia perlu disokong oleh elemen lain, terutamanya kebolehkendalian EMR dan pendekatan seluruh kerajaan serta seluruh negara,” katanya dalam sesi Forum Ekonomi Malaysia bertajuk Healthcare Reform: Towards Equitable, Affordable & Quality Healthcare, pada Khamis.
Beliau menegaskan, usaha sebelum ini lebih bersifat terasing dan berperingkat, namun RESET membawa pendekatan baharu yang menyatukan semua pihak berkepentingan dalam satu kerangka pembaharuan nasional.
Dalam pada itu, Dzulkefly menjelaskan penubuhan Dana Kesihatan Nasional bertujuan menyatukan pembiayaan kesihatan negara yang kini berpecah-pecah kepada satu mekanisme yang lebih mampan dan terjamin.
“Dana ini akan membolehkan Malaysia mengurus pembiayaan kesihatan secara lebih strategik, termasuk melaksanakan pembelian perkhidmatan kesihatan secara berkesan, sekali gus mengurangkan kebergantungan berlebihan kepada peruntukan bajet tahunan,” ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


