KUALA NERUS: Sebanyak 37 lokasi di Terengganu dijangka berdepan risiko banjir berikutan fenomena air pasang dan hujan lebat yang diramal bermula Jumaat.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Mohd Rosman Abdullah berkata ia melibatkan tujuh daerah di negeri itu kecuali Hulu Terengganu.

Katanya, antara kampung yang dikenal pasti itu berada dikawasan berhampiran pantai dan sungai.

Bagi daerah Besut antara kampung yang dijangka dilanda banjir adalah Kampung Pengkalan Atap, Kampung Teluk Budu, Kampung Pantai dan Kampung Nail.

Manakala di Setiu membabitkan Kampung Gong Batu, Kampung Pengkalan Gelap, Kampung Limau Nipis, Kampung Kuala Setiu, Kampung Fikri dan Kampung Telaga Papan.

Sementara itu di Kuala Nerus pula melibatkan Kampung Seberang Takir, Kampung Baru Seberang Takir, Kampung Ulu Takir, Kampung Pak Tuyu, Kampung Tanjung Gelam dan Kampung Pulau Rusa.

Diikuti daerah Kuala Terengganu iaitu melibatkan Kampung Kubang Ikan, Kampung Kuala Ibai dan Taman Purnama serta Kampung Merchang di Marang.

Sebanyak 13 lokasi dikenal pasti di Dungun termasuk Kampung Kuala Paka, Kampung Tebing Tembah, Kampung Pinang Merah, Kampung Durian Mentangau, Kampung Sura, Kampung Seberang Pintasan, Kampung Teluk Bidara, Kampung Tanjung Jara dan Kampung Che Lijah.

Kejadian fenomena air pasang besar turut dikesan di Kampung Baru Kemasik, Pulau Skepeng Kuala Kemaman, Pengkalan Cicar Bukit Kuang dan Kampung Bakau Tinggi.

Justeru itu, Mohd Rosman mengingatkan kesemua penduduk yang berada di kawasan berisiko sentiasa berwaspada orang ramai juga dinasihatkan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Selain itu, Mohd Rosman turut mengingatkan orang ramai juga agar tidak berkunjung ke pantai untuk menyaksikan fenomena air pasang.