GEORGE TOWN:Kerajaan Pulau Pinang masih menunggu penjelasan daripada Penang Port Sdn Bhd (PPSB) dan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) berhubung status terkini perkhidmatan Feri di negeri itu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, pihaknya akan memberi masa kepada kedua-dua pihak untuk mendapatkan gambaran jelas daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Katanya, pengurusan PPSB dan SPPP mengakui terkejut dengan pengumuman Menteri Kewangan semalam yang mahu operasi feri dikekalkan dan diteruskan.

"Apa yang saya baca dalam akhbar mereka memang terkejut dengan apa yang diumumkan oleh Menteri Kewangan sebab saya percaya mengikut apa yang mereka lapor dalam taklimat kepada Exco Kerajaan Negeri memang itu bukan dalam perancangan mereka. 

"Jadi saya rasa kita perlu berikan masa kepada pengurusan PPSB untuk mendapat arahan selanjutnya sama ada daripada MOT dan MOF, sama ada pelan interim, yang mereka rancangkan itu masih berjalan seperti biasa atau tidak itu perlu dijawab oleh PPSB," kata Chow.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di Komtar, di sini, semalam.

Ditanya berkenaan kekeliruan yang timbul itu, beliau berkata, pihaknya tidak mengetahui perkara yang dibincangkan di peringkat Kerajaan Pusat, namun bagi pihak kerajaan negeri tetap dengan pendirian supaya perkhidmatan feri ikonik dan warisan berkenaan perlu dikekalkan.

Justeru, menurut Chow, persoalan berhubung isu perkhidmatan feri perlu diajukan kepada pihak berkaitan dan beliau berharap isu tersebut dapat diselesaikan dengan cara terbaik.

Pada Khamis, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan kepada Dewan Rakyat, PPSB akan ‘disyaratkan’ untuk meneruskan perkhidmatan feri yang menjadi ikonik dan warisan di Pulau Pinang buat masa ini.

Bagaimanapun, pengumuman itu menimbulkan persoalan kerana dilihat tidak selari dengan pelan penambahbaikan perkhidmatan feri yang diumumkan SPPP sebelumnya.

SPPP pada Selasa berkata, perkhidmatan feri sedia ada akan ditamatkan bermula 1 Januari depan dan kenderaan empat roda tidak lagi dapat menggunakan perkhidmatan tersebut.

Bermula tarikh sama juga, feri ikonik sedia ada hanya boleh digunakan penunggang basikal dan motosikal manakala bot laju akan digunakan penumpang individu.

Pelaksanaan perkhidmatan feri baharu itu akan berjalan sepanjang tempoh interim sehingga Jun 2022 sebelum katamaran atau teksi air digunakan sepenuhnya dengan feri ikonik sedia ada akan dijadikan muzium dan restoran terapung.