MALAYSIA
Festival Idea Putrajaya 2025 berlangsung 4 hingga 8 Nov - Zambry

Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Nasional FOI 2025 diadakan pagi Isnin dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. - Foto Facebook/Zambry Abd Kadir
PUTRAJAYA: Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025 akan diteruskan lagi dan kali ini berlangsung pada 4 hingga 8 Nov ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir menerusi hantaran di laman Facebook beliau pada Isnin berkata, penganjuran itu susulan kejayaan FOI 2024 yang menerima lebih 100,000 pengunjung sepanjang tiga hari program, selain mencatat hampir sejuta interaksi dan penglibatan dalam talian.
"Alhamdulillah satu kejayaan yang dicapai hasil kerjasama semua pihak, kementerian, agensi dan masyarakat. Atas sebab itu, FOI 2025 akan diteruskan lagi dan kali ini diadakan pada 4 hingga 8 Nov ini. Komitmen yang diberi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sebelum ini ialah untuk melihat FOI diadakan setiap tahun dengan lebih banyak kerjasama pelbagai pihak," katanya.
Beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Nasional FOI 2025 diadakan pagi Isnin dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta dihadiri beberapa menteri dan timbalan menteri termasuk Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan; Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandasami.Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran; Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni serta Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud bersama timbalan ketua setiausaha kementerian dan ketua agensi.
"Pihak urusetia telah membentangkan perjalanan FOI pada tahun ini dan kami mengharapkan komitmen daripada setiap kementerian bagi menghasilkan impak lebih besar," katanya.
Zambry berkata, FOI 2025 bakal menampilkan dua titah diraja iaitu daripada Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
"Datuk Seri Ahmad Zahid turut menyampaikan hasrat agar semua pihak dapat memberi sumbangan kerana ini bukan sekadar idea tetapi juga sebagai pencetus perubahan untuk negara kita. Pada masa sama, beliau mencadangkan agar sekretariat di peringkat KPT dilantik bagi memperhalusi segala bentuk idea yang dikemukakan dan langkah selanjutnya yang perlu diambil supaya lebih praktik," katanya.
Beliau berkata, maklumat lanjut mengenai FOI 2025 serta program di peringkat negeri akan dikongsi dari semasa ke semasa.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami