MALAYSIA

Festival Idea Putrajaya diperluas ke seluruh negara bermula Oktober ini

Bernama 29/09/2025 | 04:10 MYT
Memasuki tahun kedua penganjurannya, KPT yakin Putrajaya FOI 2025 bukan sekadar menjadi medan pertemuan idea malah berperanan sebagai wadah utama dalam merealisasikan solusi berasaskan ilmu dan kreativiti. - Foto KPT
PUTRAJAYA: Penganjuran Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2025 bakal dilaksanakan dengan skala lebih besar dan diperluas ke seluruh negara, melibatkan penyertaan 13 negeri sepanjang bulan Oktober ini.

Kenyataan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini memaklumkan bahawa Festival Idea @Negeri akan menjelajah ke Universiti Awam dengan sinergi bersama Politeknik dan Kolej Komuniti manakala acara kemuncaknya berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dari 4 hingga 8 Nov ini.

"Bertemakan MADANI: Melakar Masa Depan, Merealisasikan Idea, Putrajaya FOI 2025 ini merupakan manifestasi kolaborasi pendekatan keseluruhan kerajaan yang melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan industri bagi menjana wacana intelektual serta inovasi yang dapat dikongsi bersama seluruh rakyat," katanya.

KPT memaklumkan Putrajaya FOI 2025 akan menampilkan pelbagai program berimpak tinggi termasuk persidangan, forum, pameran dan sesi libat urus yang memberi tumpuan kepada bidang pendidikan tinggi, penyelidikan, inovasi dan keusahawanan.

"Ruang khas turut disediakan untuk mahasiswa bagi mempamerkan hasil kreativiti dan inovasi mereka yang menawarkan pandangan segar dan berani untuk masa depan," menurut kenyataan itu.

Seiring dengan agenda Malaysia MADANI, KPT memaklumkan penganjuran festival itu dijangka memperkukuh pembangunan modal insan dan memantapkan jaringan kerjasama antara institut pengajian tinggi, industri serta komuniti.

"Ia juga akan mempercepat langkah Malaysia sebagai hab ilmu pengetahuan dan inovasi serantau.

"Majlis perasmian festival dijadualkan pada 5 Nov dan bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sesi Titah Diraja turut direncanakan dalam penganjuran Putrajaya FOI 2025 ini," menurut kenyataan itu.

Memasuki tahun kedua penganjurannya, KPT yakin Putrajaya FOI 2025 bukan sekadar menjadi medan pertemuan idea malah berperanan sebagai wadah utama dalam merealisasikan solusi berasaskan ilmu dan kreativiti demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara.

-- BERNAMA




#Putrajaya FOI 2025 #festival idea putrajaya #Kementerian Pendidikan Tinggi #inovasi