Festival Ideas Putrajaya: Martabat Malaysia sebagai hub idea, inovasi global

Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025 berlangsung dari 4 hingga 8 November lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto KPT
PUTRAJAYA: Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025 yang berlangsung dari 4 hingga 8 November lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) menzahirkan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab pemikiran dan inovasi serantau, sekali gus meletakkan Putrajaya sebagai “City of Ideas”.
Ringkasan AI
- Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025 di PICC menonjolkan Malaysia sebagai hab pemikiran serantau dan memperkasa budaya ilmu serta inovasi.
- FOI bukan sekadar acara tahunan, tetapi gerakan nasional untuk merakyatkan idea dan mencari penyelesaian cabaran masa depan negara.
- FOI melibatkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk generasi muda, akademik, industri, dan komuniti, menjadikannya gerakan menyeluruh yang unik di rantau ASEAN.

Festival Ideas Putrajaya menjadi platform himpunan idea dari seluruh dunia
Beliau berkata, banyak negara maju mempunyai festival idea mereka sendiri dan kini Malaysia turut berdiri sebaris dengan mereka melalui penganjuran FOI Putrajaya.
“FOI membuktikan bahawa kemajuan sebenar sesebuah bangsa berakar daripada kebijaksanaan. Teknologi mesti dipandu oleh etika, dan pendidikan harus berperanan untuk kemanusiaan,” katanya.
Zambry menegaskan, keunikan FOI terletak pada penglibatan pelbagai lapisan masyarakat termasuk anak muda, pelajar, ahli akademik, penggiat industri dan komuniti, menjadikannya satu pergerakan yang menyeluruh.
“Apa yang menarik, di rantau ASEAN, jarang wujud program seumpama ini. Biasanya ia dikendalikan di peringkat universiti, namun di Malaysia, kita menjadikannya satu gerakan nasional yang menggalakkan generasi muda melontarkan idea dan mencipta penyelesaian,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan penganjuran FOI tahun ini menarik minat beberapa negara jiran untuk turut serta dalam penganjuran akan datang dan Malaysia dicadang menjadi tuan rumah tetap bagi edisi peringkat ASEAN pada masa depan.

Pelbagai idea kreatif dipamerkan semasa Festival Ideas Putrajaya
Sementara itu, Ketua Penyelaras Konsep dan Pengisian FOI, Datuk Dr Mohd Sharil Abdullah, berkata festival ini menghimpunkan pelbagai idea, inovasi dan kreativiti rakyat dalam suasana yang terbuka serta inklusif.
Katanya, FOI bukan sahaja medan akademik, tetapi turut memberi ruang kepada masyarakat umum berkongsi pandangan dan membentuk budaya dialog yang sihat.
“Festival ini adalah platform untuk kita berkongsi ilmu, mempertemukan penyelidik, pelajar, industri dan masyarakat dalam satu ruang wacana yang berasaskan nilai MADANI.
"Ia menggalakkan masyarakat berfikir di luar kotak serta mencabar kebiasaan dalam mencari penyelesaian kepada isu sosial dan ekonomi,” jelasnya.
Sepanjang lima hari penganjuran, lebih 120 sesi berlangsung merangkumi forum dasar, dialog ilmiah, bengkel komuniti, pameran universiti, pameran kerjaya dan pertandingan robotik.

Pelbagai forum diskusi membincangkan mengenai inovasi masa hadapan
Acara itu turut menarik penyertaan lebih 2,000 pempamer serta 200 ruang pameran daripada pelbagai universiti tempatan, agensi kerajaan dan swasta.
FOI 2025 turut menjadi medan untuk memperkenalkan idea-idea baharu yang boleh dijadikan dasar nasional, termasuk inisiatif pemerkasaan pendidikan tinggi, pendigitalan ekonomi dan pembangunan lestari.
Penganjur menjangkakan edisi akan datang akan diperluas ke peringkat antarabangsa dengan penyertaan lebih besar daripada komuniti serantau.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


