MALAYSIA

Festival Ideas Putrajaya: Wadah rakyat, ilmuan terjemah cita-cita jadi realiti

Afiezy Azaman 13/11/2025 | 10:20 MYT
Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025 terus menjadi pentas penting mempertemukan pemikir, ilmuan, industri dan masyarakat umum dalam usaha membudayakan pertukaran idea serta mencari penyelesaian kepada cabaran masa depan negara.
PUTRAJAYA: Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025 terus menjadi pentas penting mempertemukan pemikir, ilmuan, industri, dan masyarakat umum dalam usaha membudayakan pertukaran idea serta mencari penyelesaian kepada cabaran masa depan negara.


Ringkasan AI
  • Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025 menjadi platform penting menyatukan pemikir, ilmuan, industri, dan masyarakat untuk memupuk pertukaran idea serta mencari penyelesaian cabaran masa depan negara.
  • FOI melibatkan pelbagai kementerian untuk memperluas jangkauan idea dan kerjasama, dengan penekanan kepada pendekatan dua hala dari bawah ke atas dan atas ke bawah dalam penggubalan dasar pendidikan dan teknologi.
  • FOI turut menjadi wadah bagi rakyat memberikan idea langsung kepada wakil kementerian, dengan harapan idea yang diterima dapat diterjemahkan kepada dasar negara, menegaskan pentingnya fikiran terbuka dalam menyokong kemajuan negara.


Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Megat Sany Megat Ahmad Supian, berkata FOI bertujuan mengumpulkan para ilmuan dari seluruh dunia untuk bergabung tenaga dengan dunia pendidikan, industri dan masyarakat, bagi melahirkan idea baharu yang mampu diterjemahkan kepada tindakan nyata.

FOI bertujuan mengumpulkan para ilmuan dari seluruh dunia untuk bergabung tenaga dengan dunia pendidikan, industri dan masyarakat, bagi melahirkan idea baharu


Beliau berkata, segala perkara besar yang dicapai dalam kehidupan manusia bermula daripada satu idea, dan FOI menjadi wadah penting untuk memupuk budaya berfikir serta berwacana secara terbuka.

“Setiap cita-cita dan setiap penyelesaian kepada masalah bermula daripada perbincangan. Daripada perbincangan itu, lahirlah idea, dan daripada idea itulah kita merealisasikan perubahan,” katanya ketika ditemui di FOI Putrajaya 2025, baru-baru ini.

Menurutnya, penganjuran kali ini yang memasuki tahun kedua menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan, menandakan masyarakat semakin memahami kepentingan festival seumpama ini sebagai budaya ilmu yang sihat.

“Kita perlukan masyarakat yang berfikir untuk negara. Pemikiran sebegini tidak boleh datang hanya daripada golongan elit, tetapi mesti disemai dari bawah supaya menjadi amalan sihat dan menjadikan negara kita terus segar menghadapi cabaran masa depan,” jelasnya.

Festival Ideas Putrajaya mendapat pengiktirafan dalam Malaysia Book Of Records



FOI Putrajaya Libatkan Pelbagai Kementerian

Mengulas lanjut, Megat Sany berkata walaupun FOI dicetuskan oleh KPT, penganjurannya turut melibatkan pelbagai kementerian lain bagi memperluas jangkauan idea serta bidang kerjasama.

“Kita mahu setiap kementerian mendapat manfaat daripada pertukaran idea ini. Kadang-kadang idea kecil daripada rakyat boleh membuka ruang baharu kepada dasar kerajaan.

"Mungkin ada cadangan yang relevan kepada kementerian lain. Yang penting, FOI menjadi jambatan yang mempertemukan semua pihak mahasiswa, masyarakat dan pentadbir,” ujarnya.

Beliau menegaskan, FOI turut menyediakan platform khas untuk rakyat memberikan idea mereka secara langsung kepada wakil kementerian.

Festival Ideas Putrajaya mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat


“Kami amat menghargai maklum balas rakyat. Kita tidak mahu idea yang dikongsi di sini berakhir di festival sahaja.

"Hasrat kita ialah membawa cadangan itu ke peringkat kementerian, bahkan mungkin ke Kabinet, supaya idea rakyat diterjemahkan kepada dasar negara,” katanya.

Dalam konteks penggubalan dasar pendidikan dan teknologi, Megat Sany menekankan pentingnya pendekatan dua hala daripada bawah ke atas (bottom-up) dan atas ke bawah (top-down) bagi memastikan dasar yang dirangka lebih seimbang dan berpaksikan realiti semasa.

“Bila dua pendekatan ini digabungkan, kita dapat formula terbaik untuk membawa agenda pendidikan tinggi ke hadapan,” katanya.

Beliau turut menyentuh kepentingan memahami perubahan pesat dalam teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan bagaimana kerajaan perlu mendekati rakyat dalam menjelaskan manfaatnya.

“Kalau kita mahu membangunkan dasar AI negara, kita mesti fahamkan rakyat dan manfaatkan teknologi itu untuk kebaikan.

"Kita perlu ruang seperti FOI ini untuk berbincang, berdebat dan mendapatkan maklum balas agar dasar yang digubal benar-benar berpijak di bumi nyata,” katanya.

Megat Sany menegaskan, semua rakyat perlu mempunyai fikiran terbuka dalam menyokong kemajuan negara agar manfaat pembangunan dapat dinikmati bersama.

“Kita semua mahu negara maju, tetapi kemajuan itu mesti bersifat inklusif. FOI adalah platform untuk memastikan kemajuan itu dibentuk dengan suara rakyat, hasil pemikiran bersama,” tambahnya.



#Kementerian Pendidikan Tinggi #Festival Ideas Putrajaya #FOI 2025