Kuala Lumpur, 13 Mac : Tahun 2015 merupakan tahun festival buat Malaysia, pelbagai acara yang telah diatur oleh Kementerian Pelancongan Malaysia, dirancang untuk menyemarakkan tahun festival ini. Antara tumpuan awal tahun ini ialah, Festival Kasut Antarabangsa Malaysia 2015 kali ke-6 yang telah berlangsung pada 13 Mac hingga 15 Mac yang lalu bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Festival anjuran bersama Kementerian Pelancongan Malaysia ini dilancarkan serentak dengan 1Malaysia GP Sale bersempena Perlumbaan Formula One Grand Prix Petronas 2015.

Turut memberi sokongan dalam festival ini ialah dua nama besar dalam industri fesyen Prof Datuk Dr. Jimmy Choo dan Datuk Zang Toi.

Festival yang berlangsung selama tiga hari itu menempatkan 77 pempamer kasut dari dalam dan luar negara.

Selain itu, menurut Datuk Dr. Hong Peng, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, pusat membeli-belah di Malayisa bukan lagi syurga beli belah tetapi merupakan destinasi pelancongan untuk pelancong asing dan tempatan. Kini pusat membeli belah melalui evolusi dengan memberikan pengalaman membeli belah dengan tema-tema mengikut gaya hidup.

Beliau menambah, Pelancongan Malaysia akan mempromosikan tema “Pengalaman Membeli-belah” bagi memberi inspirasi pengalaman membeli belah sebagai tumpuan pelancongan kepada pengunjung.

Kasut keluaran tempatan jenama Tulyss diperbuat daripada kain batik - Astro AWANI / MAZNUR AIN

Penyertaan pereka kasut tempatan yang baru dan juga lama, mewarnai festival kasut ini.
Mereka mengambil peluang untuk mempromosikan kasut buatan mereka dan kualiti buatan setanding dengan mutu buatan luar negara. Antara mereka yang terlibat ialah LanBaharin, Lera, Amaze dan Tulyss dan JR West.

Kasut jenama Lera yang diperbuat daripada kulit lembu dan buatan tempatan - Astro AWANI / MAZNUR AIN
Liza Muniran pengasas jenama kasut Lera pula, dia berharap dapat membesarkan lagi perniagaan kasutnya ke peringkat antarabangsa seperti jenama Jimmie Choo dan Zang Toi. Selain bersaing dengan jenama kasut yang lain Liza juga mahu mencari pengalaman.

Bagi pengasas JR West, Raja Kamaruddin ini merupakan rezeki buat beliau kerana sebelum ini dia hanya memasarkan produknya menerusi atas talian, dengan adanya festival ini merupakan peluang yang baik untuk tidak dilepaskan.

Roslan Baharin yang merupakan pemilik jenama LanBaharin menyertai festival ini buat kali ke-5. Menurut beliau, festival kasut ini menjadi tempat untuk memperkembangkan lagi jenamanya ke pasaran antarabangsa.

Antara kasut jenama LahBaharin yang dipamerkan - Astro AWANI / MAZNUR AIN

Tidak ketinggalan ialah jenama Amaze, kasut hasil kreativiti Orang Kelainan Upaya (OKU) ini menonjolkan seni lukisan atas kasut. Ini membuktikan mereka juga mempunyai bakat untuk bersaing dengan orang lain.

Kasut hasil kreativiti Orang Kelainan Upaya (OKU) jenama Amaze - Astro AWANI / MAZNUR AIN