23 Delegasi Malaysia Bebas dari Israel, Kini di Istanbul untuk Pemeriksaan & Sokongan – Ikuti Perkembangan Terkini di sini
MALAYSIA

Festival Seni Hidup 2025 angkat warisan hampir pupus

Bernama 04/10/2025 | 20:30 MYT
Festival edisi keenam itu dianjurkan dengan kerjasama Kerajaan Pulau Pinang dan Persatuan Pancha Seniloka Kebangsaan yang turut menampilkan persembahan makyung, tarian Mayin Jo'oh dan Sinding Mansayau. - Foto BERNAMA
GEORGE TOWN: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menganjurkan Festival Seni Hidup 2025 (LACF 2025) di Lebuh Armenian, di sini bermula Jumaat bagi mengetengahkan warisan yang hampir pupus.

Ketua Pengarah JKKN Mohd Amran Mohd Haris berkata festival selama tiga hari itu menghimpunkan lebih 27 persembahan seni budaya dari Malaysia, Bulgaria, Thailand, Filipina, Indonesia, India, Jepun, Sri Lanka, Republik Korea dan Uzbekistan.

"Kesenian ini termasuk yang disenaraikan sebagai Warisan Kebangsaan selain diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian LACF 2025 oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib di sini pada Sabtu.

Turut hadir Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Shaharudin Abu Sohot.

Festival edisi keenam itu dianjurkan dengan kerjasama Kerajaan Pulau Pinang dan Persatuan Pancha Seniloka Kebangsaan yang turut menampilkan persembahan makyung, tarian Mayin Jo'oh dan Sinding Mansayau.

Mohd Amran berkata bandar raya ini dipilih sebagai lokasi LACF 2025 kerana kedudukannya sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO selain kawasan Lebuh Armenian yang sememangnya terkenal dengan aktiviti seni dan menjadi tumpuan pelancong.

Beliau berkata festival kali ini mengangkat tema "Kelangsungan Budaya Warisan" dan memfokuskan kepada tiga teras utama iaitu warisan tidak ketara yang diiktiraf UNESCO, Warisan Kebangsaan serta kesenian yang memerlukan perhatian.

Mohd Amran berkata pelbagai pengisian menarik disediakan antaranya persembahan kesenian, perarakan budaya, pameran dan jualan kraf tangan, pertunjukan tanglung serta "Sarapan Malaysia" yang membolehkan pengunjung merasai juadah yang telah diiktiraf UNESCO.

"Kami menjangkakan 30,000 hingga 40,000 pengunjung termasuk pelancong asing menghadiri festival ini sepanjang tempoh tiga hari penganjurannya," katanya.

-- BERNAMA




#festival #seni hidup 2025 #JKKN #LACF 2025 #Lebuh Armenian #warisan hampir pupus