Skip to main content

Malaysia

Festival Warisan Laksa @HKN26 satukan kepelbagaian rasa Malaysia

Festival laksa, Kredit: SKM
Festival Warisan Laksa @HKN26 dianjurkan sempena sambutan Hari Koperasi Negara 2026 (HKN2026) di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, Pulau Pinang, dari 3 hingga 5 Julai ini. -Foto Suruhanjaya Koperasi Malaysia
Advertisement

JIKA ada satu hidangan yang mampu merentas sempadan negeri, menyatukan cita rasa dan mencerminkan kepelbagaian budaya Malaysia dalam semangkuk sajian, laksa pastinya berada di kedudukan teratas.

Keunikan itu bakal diraikan menerusi Festival Warisan Laksa @HKN26, yang menghimpunkan pelbagai variasi laksa dari seluruh negara sempena sambutan Hari Koperasi Negara 2026 (HKN2026) di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, Pulau Pinang, dari 3 hingga 5 Julai ini.

Daripada aroma masam pedas Laksa Penang, kelembutan kuah berkrim Laksa Sarawak, keunikan Laksa Johor yang menggunakan spageti, hinggalah kepada cita rasa tersendiri Laksa Kedah, Laksa Kelantan, dan Laksa Perlis.

Festival itu bakal membuka ruang kepada pengunjung mengembara menikmati kepelbagaian warisan kulinari negara tanpa perlu merentas sempadan negeri.

Suruhanjaya Koperasi Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, festival berkenaan menjadi platform memperkenalkan kisah di sebalik setiap hidangan yang lahir daripada sejarah, budaya dan tradisi masyarakat setempat.

"Penganjuran festival ini bukan sekadar memberi peluang kepada orang ramai menikmati pelbagai jenis laksa di satu lokasi, malah meraikan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia menerusi makanan yang menjadi kebanggaan setiap negeri.

"Festival ini turut mencerminkan semangat perpaduan apabila pelbagai tradisi penyediaan laksa disatukan dalam satu platform yang meraikan cita rasa, kisah dan warisan masyarakat berbilang kaum," katanya pada Khamis.

Mengulas lanjut, suruhanjaya itu berkata Festival Warisan Laksa @HKN26 juga bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai sejarah dan evolusi hidangan ikonik tersebut.

Selain itu, festival tersebut ujarnya, memberi penekanan kepada usaha memelihara warisan makanan tempatan dengan menyediakan ruang kepada komuniti dan generasi muda untuk mendalami seni kulinari tradisional.

"Pelbagai aktiviti interaktif termasuk demonstrasi penyediaan laksa dijangka menjadi antara pengisian menarik bagi memberi inspirasi kepada golongan muda agar terus memelihara, mempromosikan dan berinovasi dalam bidang kulinari berasaskan warisan tempatan.

"Setiap hidangan yang dipersembahkan membawa keistimewaan tersendiri, sama ada daripada aspek kuah, rempah, ramuan mahu pun cara penyediaannya, sekali gus mencerminkan identiti dan keunikan budaya masyarakat di setiap negeri," tambahnya.

Dalam masa sama, Suruhanjaya Koperasi Malaysia  berkata dengan himpunan pelbagai variasi laksa di bawah satu bumbung, festival tersebut dijangka muncul sebagai antara tarikan ikonik HKN2026.

Ia bukan sahaja untuk pencinta makanan, malah katanya kepada mereka yang ingin mengenali Malaysia melalui kisah, budaya dan rasa yang terkandung dalam semangkuk laksa.
 

Must Watch Video

Advertisement