FFC x TMTG: Delegasi Malaysia hadapi penahanan Israel dengan ketahanan luar biasa - MyCARE

Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE Kamarul Zaman Shahrul Anwar percaya delegasi Malaysia yang kini berada dalam tahanan rejim Israel telah menjangkakan situasi di dalam Penjara Ketziot, Israel. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE Kamarul Zaman Shahrul Anwar percaya delegasi Malaysia yang kini berada dalam tahanan rejim Israel telah menjangkakan situasi di dalam Penjara Ketziot, Israel.
Ringkasan AI
- Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE berkata delegasi Malaysia yang ditahan di Penjara Ketziot, Israel telah bersedia secara mental dan fizikal melalui latihan intensif serta simulasi tahanan sebelum misi ke Gaza.
- Latihan itu termasuk simulasi realistik seperti tindakan kasar, suasana tegang, dan teknik psikologi bagi membina ketahanan mental menghadapi situasi tidak dijangka.
- Peguam ADALAH telah bertemu tujuh sukarelawan Malaysia yang kini berada dalam keadaan selamat, manakala perbicaraan tribunal sedang dijalankan.
“Semua sekali telah dijangka. Kita belum ada maklumat lanjut, tetapi seperti yang dikongsi sebelum ini, itu semua memang sudah dijangka. Latihan di lapangan telah pun kita laksanakan.
“Saya sendiri terlibat dalam latihan itu (sebelum ini), berlakon sebagai tentera Israel (IDF) tutup kepala, tutup muka dan cuba mengasari peserta. Tujuannya adalah untuk melatih mereka supaya bersedia menghadapi perkara yang tidak dijangka,” katanya.
Jelasnya lagi, latihan turut melibatkan teknik psikologi seperti peranan ‘good cop, bad cop’, peserta diarahkan untuk melutut, dan simulasi serangan mengejut seperti lampu dipadam secara tiba-tiba.
“Kita buat accurate (setepat) mungkin berdasarkan pengalaman lepas. Semua itu dilakonkan semula dalam latihan tanpa peserta sedar bahawa ia adalah sebahagian daripada pelatihan,” tambahnya.
Beliau yakin bahawa pengalaman latihan tersebut telah membentuk ketahanan mental dan fizikal yang tinggi dalam kalangan delegasi, sekali gus membolehkan mereka menghadapi situasi sukar dengan tenang dan berstrategi.
Peguam daripada ADALAH memaklumkan kesemua 145 aktivis daripada Freedom Flotilla Coalition bersama Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) sudah dipindahkan ke Penjara Ketziot di Negev, Israel.
Mengulas lanjut, Kamarul Zaman memaklumkan peguam ADALAH juga sudah bertemu dengan sebahagian daripada aktivis dan proses guaman masih berjalan.
"Ada peserta yang mengalami keganasan semasa proses pemintasan dan peguam sudah meminta untuk bertemu dengan mereka petang tadi.
"Setakat ini, laporan yang kami terima, sukarelawan Malaysia berada dalam keadaan selamat dan tujuh daripada mereka sudah bertemu dengan peguam ADALAH bagi urusan lanjut," katanya.
Sementara itu, perbicaraan tribunal juga berlangsung pada Khamis.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami