GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
MALAYSIA

FGD, terowong cerobong asap di Loji Jana Kuasa Tanjung Bin terbakar

Bernama 03/10/2025 | 05:30 MYT
Loji Jana Kuasa Tanjung Bin di Pontian. - Gambar fail/BERNAMA
JOHOR BAHRU: Loji Jana Kuasa Tanjung Bin (TBE) di Pontian mengalami kebakaran pada bahagian Flue Gas Desulfurization (FGD) dan terowong cerobong asap, malam tadi.

Komander Operasi Kanan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru Penolong Penguasa Bomba Mahadir Mamat berkata 22 anggota daripada tiga BBP termasuk Pontian dan Pekan Nenas serta Pasukan Bomba Sukarela Benut, digerakkan ke lokasi kejadian sebaik panggilan kecemasan diterima pada 8.22 malam.

Beliau berkata operasi pemadaman secara keseluruhannya membabitkan dua sektor bagi mengawal kebakaran.

"Pemadaman turut dibantu 10 anggota Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) dan enam anggota bomba pelabuhan (Tanjung Bin), dengan menggunakan dua unit fix monitor sehingga api padam sepenuhnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kebakaran itu secara keseluruhan memusnahkan 70 peratus bahagian FGD dan tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

Mahadir berkata pemantauan dan tindakan lanjut diserahkan kepada pihak pengurusan Malakoff dan ERT.

Beliau berkata setakat ini punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

-- BERNAMA

#Loji Jana Kuasa Tanjung Bin #bomba #terowong cerobong asap #kebakaran