MALAYSIA

FGV tonjol komitmen kesejahteraan lelaki melalui Movember Fun Run 2025

Amzar Alif 03/12/2025 | 02:30 MYT
Fakhrunniam (tengah) ketika menyertai warga kerja FGV di garisan permulaan Movember Fun Run 2025, larian yang dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan lelaki, di Wisma FGV, Kuala Lumpur. - Foto FGV
KUALA LUMPUR: FGV Holdings Berhad (FGV) buat julung kalinya menganjurkan FGV Movember Fun Run 2025 sebagai usaha meningkatkan kesedaran mengenai kanser, khususnya kanserprostat, kesihatan mental lelaki dan kepentingan sokongan psikososial dalam kalangan warga kerja syarikat.


Ringkasan AI
  • FGV Holdings Berhad (FGV) menganjurkan FGV Movember Fun Run 2025 untuk meningkatkan kesedaran mengenai kanser prostat, kesihatan mental lelaki, dan sokongan psikososial di kalangan warga kerja syarikat.
  • Acara larian tersebut dihadiri oleh lebih 500 kakitangan FGV, termasuk dari ibu pejabat di Kuala Lumpur, sebagai langkah untuk memupuk budaya kerja inklusif dan bebas stigma.
  • Ketua Pegawai Eksekutif FGV menyatakan bahawa inisiatif seperti ini penting bagi kesihatan fizikal dan emosi pekerja lelaki, sambil menekankan keperluan untuk memecahkan stigma mengenai kesihatan mental.


Acara yang berlangsung di Wisma FGV itu merupakan inisiatif Jawatankuasa Kesaksamaan Gender Dan Pemerkasaan Wanita (GEWE) sebagai sokongan kepada kempen global Movember yang menggunakan simbol misai sebagai lambang solidariti dan perjuangan kesihatan lelaki.

Acara larian pada Ahad itu menerima sambutan menggalakkan daripada lebih 500 kakitangan FGV dari pelbagai jabatan khususnya mereka dari ibu pejabat di Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Fakhrunniam Othman, berkata FGV Movember Fun Run 2025 merupakan platform yang memberi ruang kepada pekerja lelaki untuk berbicara mengenai kesihatan mereka secara lebih terbuka, selain memupuk budaya kerja yang lebih inklusif dan bebas stigma.

Menurutnya, kempen Movember bukan sekadar simbolik, tetapi mesej mendalam mengenai tanggungjawab lelaki menjaga kesihatan fizikal dan emosi.

“Ia agak unik kerana disebut Movember di mana M-O merujuk kepada moustache. Moustache melambangkan kebanggaan pihak lelaki walaupun tidak semua mempunyai misai, dan ia memberi kesedaran bahawa lelaki perlu menjaga kesihatan,” katanya.

Beliau menambah bahawa simbol misai itu menjadi pemangkin perbincangan mengenai kesedaran awal terhadap penyakit seperti kanser prostat, tekanan emosi dan gejala gangguan mental, terutamanya apabila kebanyakan pekerja FGV terdiri daripada kaum lelaki.

“FGV mempunyai komuniti lelaki yang agak tinggi kerana kita terlibat dalam industri plantation, lebih 70 peratus adalah petugas lelaki. Jadi kesedaran dan kebersamaan mengenai kesihatan lelaki adalah penting dalam memastikan mereka dapat melaksanakan tugas dan mencapai aspirasi syarikat,” ujarnya.

Mengulas mengenai usaha memecahkan stigma, Fakhrunniam menekankan bahawa kesihatan mental bukan isu yang wajar disembunyikan.

“Penyakit atau keadaan kurang sihat ini adalah normal. Kita manusia biasa dan penting untuk kita menghadapinya dengan semangat positif serta mampu membicarakannya dengan rakan dan persekitaran tanpa rasa malu,” katanya.

Tambahnya, penerimaan dan keberanian untuk berkongsi pengalaman secara ikhlas mampu membina ketahanan diri dalam menghadapi cabaran kerja dan kehidupan.

Dalam masa sama, penganjuran FGV Movember Fun Run 2025 turut menyokong agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) FGV, khususnya di bawah teras sosial yang menekankan kesejahteraan pekerja dan persekitaran kerja yang sihat.

FGV turut memanfaatkan acara tersebut sebagai platform memperkukuh hubungan warga kerja bersama keluarga, apabila acara larian itu turut disertai anak-anak dan kaum keluarga kakitangan daripada pelbagai peringkat umur.

Selain acara larian pada sebelah pagi, peserta turut mengambil bahagian dalam sesi senaman zumba serta bengkel kesedaran kesihatan lelaki yang menyediakan maklumat mengenai penjagaan diri, sokongan psikososial dan kepentingan mengenal pasti tanda awal masalah kesihatan.

GEWE di FGV telah ditubuhkan pada tahun 2021 dan mencerminkan komitmen syarikat terhadap amalan layanan yang beretika dan saksama antara lelaki dan wanita. - Gambar FGV


Selain acara ini, FGV turut mengadakan larian FGV Pink Run sempena sambutan gerakan global Pink October yang mengangkat kesedaran terhadap kanser payudara serta isu-isu berkaitan.

FGV menyatakan bahawa program-program seperti ini akan terus diperkukuh pada masa akan datang sebagai usaha membina budaya kerja yang lebih empati, sihat dan menyeluruh, selaras matlamat syarikat menjaga kebajikan lebih 51,000 tenaga kerja FGV di seluruh dunia.




#FGV Movember Fun Run 2025 #Gender Equality & Women Empowerment #kesihatan lelaki #FGV