MALAYSIA

FGVTOP teras baharu kelestarian sawit nasional

Malekah Aisyah 22/01/2026 | 10:11 MYT
Wakil kepimpinan FGV, FELDA, MPOB dan Kementerian Perladangan dan Komoditi bergambar pada pelancaran platfrom FGVTOP. - Foto FGV Holdings Bhd
KUALA LUMPUR: FGV Holdings Berhad melangkah ke fasa baharu dalam usaha meningkatkan ketelusan serta penglibatan pekebun kecil merentasi rantaian nilai minyak sawit negara menerusi pelancaran FGV Traceability of Products atau FGVTOP.


Ringkasan AI
  • FGV Holdings Berhad melangkah ke fasa baharu dalam usaha meningkatkan ketelusan serta penglibatan pekebun kecil merentasi rantaian nilai minyak sawit negara menerusi pelancaran FGV Traceability of Products atau FGVTOP.
  • FGVTOP merupakan sebuah platform kebolehjejakan digital yang dibangunkan oleh anak syarikat teknologi maklumatnya, FGV Prodata Systems Sdn Bhd. Platform ini membolehkan pergerakan produk minyak sawit dijejak secara lebih menyeluruh dan tersusun sekali gus menyokong keperluan pematuhan kelestarian yang semakin ketat di peringkat global.
  • Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Fakhrunniam Othman berkata, FGVTOP membolehkan produk minyak sawit dalam ekosistem FGV dijejak dengan jelas dari peringkat ladang hingga ke kilang, termasuk hasil yang dibekalkan oleh pekebun kecil bebas.


FGVTOP merupakan sebuah platform kebolehjejakan digital yang dibangunkan oleh anak syarikat teknologi maklumatnya, FGV Prodata Systems Sdn Bhd. Platform ini membolehkan pergerakan produk minyak sawit dijejak secara lebih menyeluruh dan tersusun sekali gus menyokong keperluan pematuhan kelestarian yang semakin ketat di peringkat global.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Fakhrunniam Othman berkata, FGVTOP membolehkan produk minyak sawit dalam ekosistem FGV dijejak dengan jelas dari peringkat ladang hingga ke kilang, termasuk hasil yang dibekalkan oleh pekebun kecil bebas.

“FGVTOP menyepadukan proses perniagaan dalam industri sawit serta menjejak setiap peringkat dari ladang sehingga ke produk akhir.

“Selain itu, platform ini menghasilkan laporan masa nyata yang tepat, boleh dipercayai dan telus bagi menyokong agenda kelestarian kami,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran FGVTOP di Menara Felda, di sini.

Menurut Fakhrunniam, platform ini turut merangkumi bekalan daripada 317 penempatan FELDA serta kira-kira 1,500 pekebun kecil bebas yang menghantar hasil ke dalam sistem operasi FGV, menjadikannya satu pendekatan yang praktikal dan inklusif merentasi keseluruhan pangkalan bekalan.

“Sebagai pekebun kecil, bukan mudah untuk mereka menembusi pasaran maju.

“Melalui FGVTOP, kami membantu mereka dengan membolehkan penyertaan sebagai pengguna sistem untuk berkongsi maklumat berkaitan tanah, lokasi, produktiviti dan kualiti hasil,” jelasnya.

Gimik pelancaran FGVTOP berlangsung dengan meriah sekali gus menjadi simbol era baharu bagi FGV Holdings Bhd. - FGV Holdings Bhd


Pelancaran FGVTOP disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Perladangan dan Komoditi Sharifah Adlina Syed Abdullah yang hadir bagi mewakili Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad.

Sharifah Adlina dalam ucapannya menekankan kepentingan penglibatan pemain industri dalam merealisasikan aspirasi kelestarian negara, khususnya usaha mengintegrasikan pekebun kecil ke dalam rantaian bekalan global yang semakin menuntut tahap ketelusan dan kebolehkesanan tinggi.

FGVTOP dibangunkan bagi menyokong pematuhan kepada keperluan dan peraturan kelestarian yang diiktiraf, termasuk Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO), Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), serta selaras dengan Sistem Kebolehjejakan Komoditi Minyak Sawit Negara.

Sebagai platform berasaskan web tanpa keperluan pemasangan, FGVTOP membolehkan pelbagai pihak termasuk pembeli, pengawal selia dan pemegang taruh global mengakses maklumat kebolehjejakan secara masa nyata, bagi menyokong pengesahan pematuhan kelestarian pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Dalam ekosistem FGV, platform ini menyokong kebolehjejakan bekalan minyak sawit daripada aset kendalian kumpulan itu merangkumi 63 kilang minyak sawit, enam pusat pengumpulan tandan buah segar (BTS), empat kemudahan penghancuran isirung sawit serta 160 ladang kelapa sawit di seluruh negara.

Sebagai pembeli BTS terbesar daripada pekebun kecil di Malaysia, hampir dua pertiga bekalan BTS FGV iaitu sekitar 4.5 juta tan metrik diperoleh daripada peneroka FELDA dan pekebun kecil bebas. Justeru, sistem kebolehjejakan yang inklusif dan praktikal dilihat penting bagi mengekalkan akses pasaran, memenuhi keperluan pematuhan peraturan serta menyokong penyertaan menyeluruh dalam ekosistem bekalan.

Pembangunan FGVTOP merupakan hasil pelaksanaan transformasi digital jangka panjang FGV yang bermula sejak 2016, melibatkan pemusatan data produk dan transaksi, diikuti penambahbaikan berperingkat dalam aspek ketelusan kelestarian, tadbir urus dan integriti data.

Ketua Pegawai Eksekutif FGV Prodata Systems Sdn Bhd, Shamsuri Jasri Abdul Rahman (kiri) menerangkan mekanisme platform digital FGVTOP kepada Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Sharifah Adlina Syed Abdullah (tiga, kiri), semasa majlis berlangsung sambil turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Fakhrunniam Othman (tiga, kanan). - Foto FGV Holdings Bhd


Menjelang 2024, sistem ini telah mencapai penjajaran kebolehjejakan dan pematuhan terhadap keperluan kelestarian utama, sekali gus membolehkan akses oleh pihak berkepentingan luar.

Pelancaran FGVTOP menandakan satu lembaran baharu dalam perjalanan FGV, dengan menggabungkan inovasi, tadbir urus dan kerjasama merentasi rantaian nilai minyak sawit bagi menyokong kelestarian, ketelusan dan penglibatan pekebun kecil secara berterusan dalam landskap pasaran global yang semakin mencabar.


#FGV #FGVTOP #minyak sawit #FGV Prodata Systems Sdn Bhd #pekebun kecil #platform digital