Fikir di luar kotak, fahami nilai 'Harimau Asia' - Syed Saddiq

Madiha Abdullah
April 1, 2019 01:23 MYT
Syed Saddiq menyampaikan ucapan pembukaan "Wawasan Pewaris Bangsa" pada Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia di Dewan Agong Tuanku Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini. --fotoBERNAMA
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyeru anak muda agar berfikir di luar kotak dan berani menyahut cabaran.
Katanya, golongan belia perlu berani menyatakan pendapat dan bersuara tentang sesuatu kerana sifat sebegini mampu mencetuskan pembaharuan yang positif.
"Apa sahaja bentuk perubahan, minda atau sistem, perlu dimulakan oleh anak muda.
"Ketika menyertai World Economic Forum, saya selalu tegaskan kepada hadirin, belia perlu berani menjadi disrupters dalam sistem, kerana itulah peranan anak muda dalam membentuk masa depan negara," kata Syed Saddiq.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pembukaan Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, pada Isnin.
Dalam masa yang sama, Syed Saddiq juga menekankan kepentingan memahami nilai murni dalam sistem yang membawa negara dikenali sebagai Harimau Asia pada era 80an.
"Pada era 80an, Korea Selatan menghantar pelatih bola sepak mereka ke negara ini dan mempelajari sistem dan nilai yang kita terapkan.
"Hasilnya, mereka menjadi kuasa besar dalam bola sepak menggunakan apa yang dipelajari daripada kita.
"Tun Dr Mahathir Mohamad adalah contoh terbaik dalam kita memahami nilai ini. Beliau bekerja keras untuk negara dan cuba mencari penyelesaian serta jalan terbaik yang tidak konvensional, tetapi berkesan," tambahnya.
#anak muda #Belia #berfikir di luar kotak #bersuara #bola sepak #harimau asia #konvensyen #Korea Selatan #kuasa besar #Mahathir Mohamad #menyatakan pendapat #negara #nilai murni #pembaharuan #sistem #Syed Saddiq Syed Abdul Rahman #UiTM Shah Alam