[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

FIMM kemuka teguran terbuka terhadap enam bekas perunding berhubung sijil palsu

Bernama 17/09/2025 | 15:00 MYT
FIMM berkata keputusan oleh Jawatankuasa Tatatertib itu dibuat selepas mengambil kira faktor berkaitan dengan setiap kes. - Gambar fail/Facebook@FIMM93
KUALA LUMPUR: Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM) mengenakan teguran secara terbuka terhadap enam bekas perunding skim unit amanah (UTS) dan skim persaraan swasta (PRS) kerana mengemukakan sijil akademik palsu dalam permohonan pendaftaran mereka.

FIMM berkata keputusan oleh Jawatankuasa Tatatertib itu dibuat selepas mengambil kira faktor berkaitan dengan setiap kes.

Mereka yang dikenakan tindakan ialah bekas perunding Public Mutual Bhd; Roster Anak Maringai, bekas perunding RHB Asset Management Sdn Bhd; Vijayendran Vengho, bekas perunding AHAM Asset Management Bhd; Goh Yen Chew dan Tan Shi Yuin serta bekas perunding Kenanga Investors Bhd; Dian Ayu Lestari Rusdi dan Siti Amira Juattin.

"Teguran awam ini dikenakan bagi menyampaikan mesej tegas bahawa FIMM akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Langkah ini bertujuan mencegah perunding UTS dan PRS daripada membuat salah laku, serta mengingatkan mereka bahawa pelaksanaan peraturan FIMM penting ketika memasarkan dan mengedarkan produk UTS dan PRS di Malaysia demi melindungi kepentingan pelabur," kata kenyataan itu.

-- BERNAMA

#FIMM #sijil akademik #skim unit amanah #salah laku