[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Final Piala Malaysia: 180 pegawai, anggota trafik bertugas kawal lalu lintas

Sinar Harian 26/04/2025 | 03:20 MYT
Mohd Zamzuri berkata, bagi memastikan kelancaran aliran trafik serta keselamatan pengguna jalan raya dan penyokong, beberapa penutupan dan lencongan jalan secara berperingkat akan dilaksanakan di beberapa laluan utama. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Seramai 180 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL) akan ditugaskan bagi mengawal aliran trafik sempena perlawanan akhir Piala Malaysia membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Sri Pahang di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Ketua JSPT Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, penugasan anggota terlibat bermula seawal jam 10 pagi.
"Antara penugasan yang dijalankan melibatkan rondaan sekitar stadium serta penutupan dan lencongan jalan yang akan dilaksanakan secara berperingkat bermula jam 2 petang.
"Langkah ini diambil bagi memastikan kelancaran aliran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya serta penyokong yang hadir ke stadium," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, bagi memastikan kelancaran aliran trafik serta keselamatan pengguna jalan raya dan para penyokong yang hadir, beberapa penutupan dan lencongan jalan secara berperingkat akan dilaksanakan di beberapa laluan utama.
"Antaranya susur dari Lebuhraya KESAS ke lampu isyarat SUKOM akan ditutup, dan laluan akan dilencongkan ke Awan Kecil atau Awan Besar.
"Begitu juga dengan laluan dari lampu isyarat SUKOM ke arah Jalan Merah Cagar yang turut ditutup dengan lencongan yang sama,” katanya.
Tambah beliau lagi, Jalan Barat dari Lebuhraya KESAS akan ditutup dan trafik akan dilencongkan ke Jalan Radin atau Sri Petaling. Jalan Barat / Jalan Radin turut akan ditutup, dan pengguna akan diarahkan ke arah Shah Alam.
"Persimpangan Jalan Barat / Lebuhraya KESAS akan ditutup, dan laluan alternatif disediakan melalui Jalan Radin atau Sri Petaling.
"Selain itu susur ke Jalan Barat dari arah Bulatan Lumba Kuda juga ditutup dan trafik akan dialihkan ke Kinrara dan susur dari Puchong Link ke Jalan Barat akan turut ditutup dengan lencongan ke Bulatan Lumba Kuda," katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal serta mematuhi papan tanda dan arahan pegawai trafik yang bertugas.
"Orang ramai juga digalakkan menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
"Sebarang pertanyaan boleh diajukan ke Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999, Hotline JSPT Kuala Lumpur di 03-2026 0267 / 0269 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya. - Sinar Harian
#Piala Malaysia #jalan tutup #Stadium Nasional Bukit Jalil #Mohd Zamzuri Mohd Isa