MALAYSIA

FINAS dekati pelajar sekolah dalam usaha lahirkan generasi kreatif masa depan

Bernama 04/11/2025 | 21:00 MYT
Azmir Saifuddin (tiga, kiri) hadir pada program PriPEx 2025 di Dewan 2020, Kangar, pada Selasa. - Facebook FINAS
KANGAR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) buat julung-julung kalinya menjalinkan kerjasama dengan institusi pendidikan peringkat sekolah rendah dan menengah di Perlis melalui penganjuran Prints and Pixels Expo (PriPEx) 2025 dalam usaha memupuk budaya kreatif serta melahirkan bakat baharu dalam bidang perfileman sejak di bangku sekolah.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata kerjasama itu penting bagi membuka ruang kepada pelajar untuk mengenali industri kreatif secara lebih dekat serta memberikan pendedahan kepada peluang kerjaya dalam bidang berasaskan kandungan digital.

"PriPEx ini bersempena dengan Majlis Digital Utilisation and Technology Award (DUTA) Peringkat Negeri Perlis 2025. Kita mahu anak-anak ini melihat bahawa industri kreatif mempunyai masa depan dan kerjaya yang boleh diceburi.

"Melalui penghasilan filem pendek, dokumentari, kandungan TikTok dan media sosial, mereka diberi peluang berkarya sambil mendapat bimbingan daripada penggiat industri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri PriPEx 2025 di Dewan 2020 di sini pada Selasa.

PriPEx 2025 diadakan selama empat hari bermula Isnin.

Azmir Saifuddin berkata penganjuran PriPEx 2025 menjadi platform permulaan kepada FINAS untuk memperluas jaringan kerjasama dengan sekolah dalam melahirkan generasi kreatif yang berfikiran kritis serta berani bereksperimen dengan teknologi baharu.


-- BERNAMA





#FINAS #pelajar sekolah #Azmir Saifuddin Mutalib #PriPEx 2025