[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Finas nafi dakwaan wujud kartel dalam industri filem tempatan

Bernama 30/09/2025 | 12:20 MYT
Datuk Hans Isaac berkata Finas kini dalam proses menambah baik dasar serta peraturan sedia ada, termasuk rombakan kecil terhadap akta dan dasar perfileman bagi memastikan keadilan serta peluang saksama kepada semua penerbit. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menegaskan setiap filem yang ditayangkan di pawagam di bawah syarat wajib tayang sentiasa mematuhi prosedur ditetapkan, sekali gus menolak dakwaan wujudnya kartel dalam industri perfileman.


Ringkasan AI
  • Finas menegaskan semua filem wajib tayang mematuhi prosedur dan menolak dakwaan wujudnya kartel dalam industri perfileman.
  • Finas sedang menambah baik dasar dan peraturan termasuk rombakan kecil akta perfileman bagi memastikan keadilan kepada penerbit.
  • Pengerusi Finas Datuk Hans Isaac menyifatkan kemunculan platform alternatif sebagai perkembangan positif selagi mematuhi peraturan.


Pengerusinya Datuk Hans Isaac berkata Finas kini dalam proses menambah baik dasar serta peraturan sedia ada, termasuk rombakan kecil terhadap akta dan dasar perfileman bagi memastikan keadilan serta peluang saksama kepada semua penerbit.

"Kami dah bincang dan saya juga hubungi saudara Afdlin Shauki untuk dapatkan penjelasan berhubung dakwaan tersebut. Daripada pihak Finas, tugas kami ialah memastikan setiap proses melalui cara yang telus dengan tatacara dan tatakelola yang betul.

"Masyarakat tahu yang kita ada proses dan kami sentiasa patuhi proses itu. Cuma kadang-kadang, selepas beberapa lama benda akan bertukar, seperti dulu kita 'shoot' (guna) 35 mm filem tetapi sekarang digital. Begitu juga dengan proses wajib tayang dan penempatan filem, semua ini adalah proses untuk menambah baik," katanya selepas penyerahan Insentif Tayangan Filem Cereka 2.0 (ITFC 2.0), di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia Datuk Afdlin Shauki mendakwa wujud "tangan ghaib" atau kartel yang menentukan kejayaan sesebuah filem tempatan termasuk dari aspek slot tayangan utama, promosi dan pengedaran.

Afdlin menyifatkan keadaan itu menyebabkan pembikin filem seperti "berjudi dengan nasib" kerana kualiti karya tidak lagi menjadi penentu utama.

Mengulas kemunculan platform alternatif termasuk aplikasi baharu yang dibangunkan oleh pengarah Erma Fatima, Hans menyifatkannya sebagai perkembangan positif kerana membuka lebih banyak peluang kepada penerbit menyalurkan karya mereka.

"Siapa sahaja boleh berniaga dan tunjukkan konten mereka. Kami (Finas) tidak akan halang, asalkan mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan. Jika tidak melanggar syarat, Finas akan terus memberi sokongan," katanya.

-- BERNAMA





#FINAS #Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia #nafi wujud kartel #Hans Isaac