SINGAPURA: Firefly melanjutkan pembatalan penerbangan antara Subang dan Singapura sehingga 16 Oktober berikutan keadaan jerebu yang semakin buruk di negara pulau itu.
Kualiti udara di Singapura terus merosot pada Rabu, dengan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam merekodkan bacaan antara 127 hingga 203 setakat 9 malam, sekali gus melepasi paras 200 bagi kategori “sangat tidak sihat”, menurut Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA).
Anak syarikat milik penuh Malaysia Airlines itu sebelum ini telah membatalkan semua penerbangan berjadual antara Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dan Lapangan Terbang Seletar dari 10 hingga 14 Okt sebagai langkah keselamatan berjaga-jaga.
Dalam satu pemberitahuan, syarikat penerbangan itu memaklumkan pelanjutan pembatalan berkenaan melibatkan enam perkhidmatan harian: FY3122 dan FY3123, FY3124 dan FY3125, FY3126 dan FY3127, FY3128 dan FY3129, FY3130 dan FY3131, serta FY3132 dan FY3133.
“Penumpang yang terkesan sedang dihubungi dan dialihkan ke perkhidmatan Malaysia Airlines yang sedia ada menerusi laluan Kuala Lumpur-Singapura, tertakluk kepada kekosongan tempat duduk.
“Penumpang yang memilih untuk tidak meneruskan penerbangan yang dialihkan itu layak untuk mendapat bayaran balik penuh, yang akan dikreditkan semula ke kaedah pembayaran asal dalam tempoh 30 hari bekerja,” menurut kenyataan itu pada Rabu.
-- BERNAMA