TAIPING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah, Khalil Yahaya selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping pada Selasa, bagi membantu siasatan berhubung fitnah berkaitan pelantikan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Bekas Timbalan Speaker DUN Perak itu tiba di pekarangan IPD Taiping pada 9.48 pagi, bersama tiga individu yang mengendalikan akaun Facebook miliknya dan keluar kira-kira jam 1.10 petang.

Menurut Khalil, 44, sepanjang sesi tiga jam itu, mereka diberi layanan yang baik.

“Kami telah juga beri kerjasama baik dan segala persoalan dijawab dengan baik kepada pegawai polis yang menyiasat tadi.

“Layanan, Alhamdulillah kita diberi minum, layanan baik, tak ada masalah apa-apa.

“Kita boleh sembang secara baik, tak ada apa dan kita bagi kerjasama yang baik dan mereka pun cukup profesional, tiada apa-apa masalah langsung,” katanya ketika ditemui selepas memberi keterangan itu.

Khalil mengakui pengendali Facebook miliknya tersilap menghantar hantaran mengenai pelantikan Teresa Kok sebagai Pengerusi Felda dan telah pun memohon maaf.

Di samping itu, kata Khalil, mereka turut memberi keterangan berhubung hantaran mengenai tiga amanat buat pejuang Islam, kononnya dari Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dikongsi netizen atas nama Miqdad Zakaria, minggu lalu.

Beliau menafikan pihaknya membuat hantaran mengenai tiga amanat itu dan telah membuat laporan polis mengenai perkara itu di IPD Taiping pada Sabtu lalu.

Sehubungan itu, Khalil dan tiga pengendali Facebooknya telah menyerahkan telefon bimbit milik mereka kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

Pada Sabtu, media melaporkan, polis menerima laporan dibuat Teresa Kok berhubung poster pelantikannya sebagai Pengerusi Felda.

Siasatan polis mendapati berita palsu itu berasal dari laman sosial Facebook Khalil.

Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.