Flat terbakar: Suami terkejut, isteri pengsan persiapan Aidilfitri hangus dijilat api

Sharom Abu Bakar
Mei 31, 2019 01:34 MYT
Kebakaran itu menyebabkan kediaman berkenaan musnah hampir 45 peratus. - Foto Astro AWANI
Kedatangan Aidilfitri disambut hiba lima sekeluarga selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran seminggu menjelang Aidilfitri.
Kebakaran berlaku di Flat Yayasan Pembangunan Keluarga Chendering, di sini kira-kira 9.45 malam Khamis.
Lebih menyedihkan kesemua persediaan bagi menyambut Aidilfitri yang dibuat seminggu lalu hangus dijilat api.
Menurut mangsa Mohd Khaizuan Oslan Affandi ketika kejadian mereka sekeluarga tiada dirumah sebelum dikejutkan dengan panggilan daripada jirannya memaklumkan kediamannya terbakar.
Panik dengan kejadian itu bapa kepada tiga cahaya mata bergegas pulang sebelum melihat
barangannya musnah dimamah api.
Manakala isterinya Tuan Norlida Tuan Ariffin, 27, pengsan sejurus tiba di rumah sewa mereka.
“Masa kejadian saya dekat tempat kerja, ada orang telefon beritatahu rumah terbakar. Saya terus balik tengok, habis l(terbakar) taka da benda tinggal. Semua persiapan isteri saya habis hangus,” kata Mohd Khaizuan.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abnihajar berkata sejurus menerima panggilan seramai 24 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Jelasnya ketika sampai api marak sedang membakar rumah di tingkat empat berkenaan dan pihaknya mengambil masa enam minit bagi mengawal kebakaran.
Katanya kebakaran itu menyebabkan kediaman berkenaan musnah hampir 45 peratus.
Jelasnya punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
#Aidilfitri #API #bomba #hari raya #kebakaran #Kuala Terengganu #musnah dijilat api #siasatan