FLDP mudahkan urusan pengambilan pekerja asing - Menteri

Adie Sufian Zulkefli
Februari 25, 2023 06:21 MYT
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kiri) menyapa pengunjung ketika mengadakan lawatan kerja di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) Padang Besar, pada Sabtu. - Gambar Astro AWANI
PADANG BESAR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Foreign Labour Demand Portal (FLDP) memudahkan urusan kerajaan dan negara-negara sumber dalam membawa masuk pekerja asing ke Malaysia.
Beliau berkata, portal FLDP itu juga akan dapat diakses oleh 15 negara sumber lain bagi membolehkan pihak terlibat membuat persediaan bagi menghantar pekerja asing dalam sektor-sektor yang diperlukan.
Katanya, menerusi pelaksanaan itu, negara-negara sumber yang membekalkan kemasukan warga asing boleh mengetahui secara lebih lanjut tentang permintaan sektor pekerjaan yang diperlukan oleh pihak industri.
“Kunjungan saya ke negara-negara sumber sebelum ini juga menunjukkan perkembangan positif di mana semuanya menunjukkan komitmen bagi mewujudkan portal FLDP ini dan apabila semua sistem ini saling berhubung, maka ia akan lebih menjimatkan masa serta kos,” kata beliau.
Saifuddin berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) Padang Besar, di sini, pada Sabtu.
Dalam masa sama, Saifuddin berkata, beliau telah memulakan perbincangan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia bagi memulakan pelaksanaan penubuhan portal tersebut.
Menurutnya, pekerja asing dalam sektor-sektor kritikal di negara ini sememangnya amat diperlukan khususnya selepas era pandemik COVID-19 antaranya membabitkan bidang perladangan, perkilangan dan perkhidmatan.
“Bank Negara Malaysia (BNM) juga memaklumkan bahawa jika kita dapat permudahkan kemasukan pekerja asing ke Malaysia, langkah itu mampu memberi sumbangan signifikan kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP).
“Dengan kewujudan portal ini, ia akan memudahkan kita untuk berkomunikasi dengan negara sumber tentang keperluan sumber tenaga kerja yang diperlukan oleh sektor-sektor kritikal,” jelas beliau lagi.
#pekerja asing #negara sumber #Saifuddin Nasution #Foreign Labour Demand Portal