23 Delegasi Malaysia Bebas dari Israel, Kini di Istanbul untuk Pemeriksaan & Sokongan – Ikuti Perkembangan Terkini di sini
MALAYSIA

Flotila menuju Gaza hampiri perairan antarabangsa di luar pesisir Iskandariah, Mesir

Bernama 05/10/2025 | 10:16 MYT
Jawatankuasa Antarabangsa untuk Menamatkan Kepungan Gaza mengumumkan bahawa konvoi 11 kapalnya kini berada di luar pesisir Iskandariah. - Gambar fail/Bernama
ANKARA: Jawatankuasa Antarabangsa untuk Menamatkan Kepungan Gaza pada Ahad mengumumkan bahawa konvoi 11 kapalnya kini berada di luar pesisir Iskandariah dalam perairan antarabangsa, kira-kira 560 kilometer (348 batu) dari Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).


Ringkasan AI
  • Konvoi 11 kapal Freedom Flotilla kini berada di perairan antarabangsa berhampiran Iskandariah, kira-kira 560 km dari Gaza, dengan misi menamatkan sekatan Israel dan mewujudkan koridor maritim selamat.
  • Misi ini diteruskan selepas Israel menyerang flotila Global Sumud Flotilla (GSF) minggu lalu, menahan lebih 470 aktivis dari 50 negara yang cuba menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
  • Sekatan Israel ke atas Gaza sejak 18 tahun lalu menyebabkan krisis kemanusiaan terburuk, dengan lebih 67,000 rakyat Palestin terbunuh sejak Oktober 2023, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.


Dalam satu kenyataan, jawatankuasa itu mengesahkan semula misinya dengan menyatakan: "Matlamat kami ialah Gaza - untuk menamatkan sekatan, menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku dan mewujudkan koridor maritim yang selamat."

Pada Sabtu, jawatankuasa itu memaklumkan bahawa dua lagi bot telah menyertai gelombang terbaharu misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) bagi mencabar sekatan Israel ke atas Gaza, menjadikan jumlah keseluruhan kapal yang sedang dalam pelayaran kepada 11, selepas Israel menyerang misi Global Sumud Flotilla (GSF) di perairan antarabangsa.

FFC, sebuah rangkaian kumpulan masyarakat sivil antarabangsa telah menganjurkan beberapa percubaan sejak 2010 untuk memecahkan sekatan ke atas Gaza dan mengetengahkan krisis kemanusiaan di wilayah itu.

Tentera laut Israel menyerang dan merampas kapal-kapal misi GSF pada Khamis serta menahan lebih 470 aktivis dari lebih 50 negara. Flotila itu sebelum ini cuba menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza dan mencabar sekatan Israel ke atas wilayah itu.

Israel mengekalkan sekatan ke atas Gaza yang dihuni hampir 2.4 juta penduduk, sejak hampir 18 tahun lalu.

Sejak Oktober 2023, serangan Israel telah membunuh lebih 67,000 rakyat Palestin di wilayah itu, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta menjadikannya tidak boleh didiami, dengan sekatan itu turut menyebabkan Gaza terjerumus ke dalam kebuluran.

-- BERNAMA





#Global Sumud Flotilla #luar pesisir Iskandariah #Freedom Flotilla Coalition #Gaza #Israel