Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Flotilla buka mata terhadap kecuaian manusia biarkan kezaliman melarat - ZRA

Irfan Faruqi 09/10/2025 | 13:30 MYT
Sebahagian kapal yang menyertai GSF di perairan Koufonisi Islet, Greece. - Gambar fail Reuters/Stefanos Rapanis
KUALA LUMPUR: Misi flotila ke Gaza bukan semata-mata soal memastikan bantuan kemanusiaan sampai ke wilayah dikepung Israel.


Ringkasan AI
  • Misi flotila bukan sekadar bantuan kemanusiaan, tetapi seruan global terhadap kecuaian dunia membiarkan penjajahan dan pembunuhan di Palestin. Perkongsian langsung di media sosial oleh aktivis GSF berjaya memecah dominasi naratif berat sebelah media arus perdana dan cetus kesedaran antarabangsa. Keberanian aktivis dan jarak pelayaran flotila membuktikan kekuatan solidariti global, namun umat Islam masih kurang bersatu dalam perjuangan membela Palestin.


Aktivis Global Sumud Flotilla (GSF), Zainal Rashid Ahmad berkata, misi lebih besar adalah membuka mata terhadap kecuaian dunia yang membiarkan pembunuhan di Palestin berterusan selama lebih tujuh dekad.

“Mereka lupa bahawa yang besar bukan makanan untuk Gaza. Perkara yang paling besar ialah kecuaian manusia yang membenarkan satu bangsa merampas tanah bangsa lain dan membiarkan bangsa dijajah itu dibunuh untuk tujuh dekad.

“Flotilla bawa mesej mengenai 8.2 bilion penduduk dunia dari 192 negara boleh membiarkan satu bangsa (Israel) membina negara bangsa mereka secara haram dan membunuh penduduk asal (Palestin),” katanya.

Beliau berkongsi pengalaman pelayaran GSF yang disertainya bersama 23 aktivis Malaysia yang lain dalam program Buletin AWANI Khas pada Khamis.

Tambah Zainal Rashid, misi GSF yang memanfaatkan media sosial untuk berkongsi maklumat dan perkembangan langsung mengenai pelayaran telah mencetus kesan domino kepada komuniti antarabangsa mengenai isu Palestin.

Menurutnya, strategi itu telah memecah dominasi media konvensional yang ada kecenderungan mengetengahkan naratif berat sebelah mengenai perang Israel ke atas Palestin, khususnya Gaza.

"Ini satu gambaran yang akan menjadi pendahulu bagi kes-kes lain, sama ada media dikuasai oleh pihak yang mahu menstrukturkan pemikiran masyarakat dunia sudah berakhir. Dunia telah dimerdekakan dengan perkongsian di media sosial apabila semua orang mainkan peranan,” ujarnya.

Menyentuh lebih lanjut mengenai kesedaran terhadap isu Palestin, Razali Awang yang juga menyertai pelayaran itu berkongsi pendapat yang sama.

“(Kapal) Flotila yang paling jauh berlayar adalah pada jarak 23 batu nautika dari Gaza. Saya ditangkap pada jarak 43 baut nautika. Ini membuktikan bahawa GSF ini berjaya membuka mata masyarakat antarabangsa. Isunya, kita; orang Islam, yang masih kurang percaya dan kurang bersolidariti untuk gunakan pelbagai platform untuk menyelamatkan penduduk Gaza dan bina Palestin amnya,” katanya.

Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.

Namun, nasib tidak menyebelahi kesemua aktivis termasuk 23 rakyat Malaysia apabila ditahan tentera rejim Zionis pada 2 Okt, selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan zon merah R3, di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.

Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).

Turut ditahan, Razali Awang menaiki kapal Inana; pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).

Bagaimanapun, semua aktivis Malaysia berjaya dibawa keluar dari Israel pada 4 Okt hasil usaha keras Perdana Menteri serta bantuan kerajaan Turkiye.



#Palestin #Global Sumud Flotilla #media sosial #bantuan kemanusiaan