MALAYSIA

Fokus utama jadikan Malaysia negara hebat - PM Anwar

Bernama 08/11/2025 | 13:45 MYT
Anwar semasa berucap pada majlis Ramah Mesra Bersama Persatuan Industri Sabah di Magella Sutera Resort malam ini. - Gambar Bernama
KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua kepimpinan negara dan negeri untuk bekerjasama dengan beliau, dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang hebat di persada dunia.


Ringkasan AI
  • Anwar Ibrahim mahu kepimpinan negara dan negeri bekerjasama untuk membangunkan Malaysia sebagai negara hebat di mata dunia.
  • Tumpuan utama kini ialah memperkukuhkan kekuatan ekonomi negara supaya Malaysia dihormati bukan hanya dari segi keamanan tetapi juga dalam polisi.
  • Anwar tidak kisah disalah anggap kerana hubungan baik dengan China dan Amerika, kerana matlamatnya adalah menjadikan Malaysia sebagai negara besar dengan kejayaan ekonomi yang mantap.


Beliau berkata kerajaan kini berada pada tahap untuk memastikan kekuatan ekonomi dijadikan sebagai fokus utama, supaya negara luar akan terus menghormati Malaysia bukan hanya kerana keamanannya tetapi juga dalam aspek polisi.

"Fokus saya adalah untuk memastikan kejayaan negara ini sebagai sebuah negara hebat dengan kekuatan ekonomi. Ini penting. Fundamental kita negara aman, mesra dengan semua negara.

"Orang marah saya sebab terlalu baik dengan China, dengan Amerika. Saya tidak peduli marah atau tidak, kerana saya mahu jaga Malaysia supaya menjadi negara besar. Kalau kita mahu berjaya dalam ekonomi, kita kena berkawan dengan semua," kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada program Sesi Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Persatuan Industri Sabah di sini, malam ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Anwar berkata Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 baru-baru ini menyaksikan kemampuan Malaysia menghimpunkan 11 negara anggota ASEAN serta negara gergasi dan berpengaruh dalam ekonomi seperti Amerika Syarikat dan China, dan menambah tidak banyak negara mampu berbuat demikian.

"Malaysia ialah sebuah negara berdaulat. Saya mewakili negara ini dan setiap keputusan saya mesti melindungi kepentingan rakyat serta ekonomi Malaysia," kata beliau.

Justeru, Anwar berkata keamanan dan kestabilan negara adalah amat penting untuk memastikan sektor perniagaan berkembang maju, dan beliau mahu semangat serta kefahaman tersebut ditanam dalam kalangan rakyat bagi memastikan mereka menerima manfaatnya.

Beliau sekali lagi menegaskan negara akan mengalami kerugian besar sekiranya wujud perselisihan mahupun pergaduhan dalam politik sama ada pada peringkat pusat atau negeri, yang akhirnya memberi kesan kepada rakyat.

"Sebagai Perdana Menteri, saya tidak akan bertoleransi. Gunakan kuasa yang ada untuk mentadbir negara ini dengan baik dan melindungi rakyat kita," kata Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Anwar berkata kepimpinan Sabah perlu bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan pembangunan ekonomi negeri itu dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

Beliau berkata tumpuan utama kini bukan lagi kepada politik perkauman atau pertikaian antara negeri dan Persekutuan, sebaliknya memastikan agenda ekonomi negeri dan rakyat terus diperkukuh.

"Saya tidak mahu layan ini politik kaum. Saya nak pastikan semua bekerjasama, pastikan pimpinan boleh bawa mesej Sabah, pastikan pimpinan bekerjasama kuat dengan Kerajaan Persekutuan dan fokus kepada ekonomi," kata beliau.

Anwar menegaskan hanya dengan perpaduan antara negeri dan pusat, kestabilan politik dan pembangunan ekonomi negara dapat dicapai, serta memberi manfaat kepada rakyat di semua peringkat.

Beliau turut mengingatkan bahawa perniagaan dan pelaburan tidak akan berkembang tanpa keamanan dan persefahaman nasional yang kukuh.

-- BERNAMA




#kekuatan ekonomi #aspek polisi #negara besar #persada dunia