Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Food Bank Malaysia anjur wayang pacak sempena Bulan Kebangsaan

Bernama 17/08/2025 | 04:35 MYT
Mohd Azrul berkata hasil jualan tiket akan disumbangkan sepenuhnya kepada Food Bank Malaysia untuk tujuan amal dan setiap pembeli akan dihidangkan makanan serta minuman percuma, tertakluk kepada syarat dan peraturan. - Foto BERNAMA
ALOR SETAR: Pertubuhan Bank Makanan Malaysia (Food Bank Malaysia) akan menganjurkan tayangan wayang pacak filem klasik bagi memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan di bandar raya ini.

Pengerusi Food Bank Malaysia Mohd Azrul Mohd Razak berkata melalui tayangan filem klasik, orang ramai dapat mengimbau sejarah dan dalam masa yang sama memupuk semangat nasionalisme.

"Pelbagai filem klasik menarik antaranya karya Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee akan ditayangkan kepada orang ramai," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata tayangan akan diadakan setiap Jumaat bermula 22 Ogos ini bertempat di Warong Jalan Day di sini, bermula 8 hingga 11 malam.

Mohd Azrul berkata tiket akan dijual pada harga serendah RM5 untuk dewasa dan kanak-kanak berusia enam tahun ke atas manakala warga emas serta orang kurang upaya (OKU) tidak dikenakan bayaran.

"Tiket akan mula dijual esok melalui platform media sosial Food Bank Malaysia dan terhad kepada 30 orang pembeli terawal untuk setiap minggu kerana tempat adalah terhad," katanya.

Mohd Azrul berkata hasil jualan tiket akan disumbangkan sepenuhnya kepada Food Bank Malaysia untuk tujuan amal dan setiap pembeli akan dihidangkan makanan serta minuman percuma, tertakluk kepada syarat dan peraturan.

"Program itu sebagai usaha untuk mengumpul dana bagi membantu menyediakan makanan percuma kepada golongan kurang bernasib baik di sekitar negeri ini," katanya.

Beliau berkata pengunjung yang menggayakan pakaian bertemakan gaya klasik dan Hari Kebangsaan turut berpeluang dipilih sebagai penonton bertuah dan bakal membawa pulang hadiah istimewa.

-- BERNAMA

#Food Bank Malaysia #wayang pacak #Bulan Kebangsaan