Formula baharu harga minyak akan diumumkan - Hamzah

Abd Razak Mohd Ali
Jun 16, 2017 11:07 MYT
Menurut Hamzah, mengikut kaedah yang digunakan sekarang, pengusaha stesen minyak akan mengalami kerugian sekiranya harga bahan api itu terus turun. -Gambar fail
Satu formula baharu harga minyak akan diumumkan sebaik rundingan akhir dengan syarikat bahan api itu selesai minggu hadapan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata formula berkenaan bertujuan menstabilkan industri minyak.
Menurut Hamzah, mengikut kaedah yang digunakan sekarang, pengusaha stesen minyak akan mengalami kerugian sekiranya harga bahan api itu terus turun.
“Saya sebenarnya sedang mencari satu formula dan insya-Allah akan saya bincang sekali lagi dengan syarikat-syarikat petrol.
Tambah Hamzah, beliau telah pun berbincang dengan Kementerian Kewangan selepas bertemu dengan pihak syarikat bahan api minggu lepas.
“Jadi minggu depan ialah perbincangan akhir dengan syarikat minyak dan saya akan umumkan bagaimana cara untuk menstabilkan industri ini.
“Kita beri kaedah menang-menang kepada semua orang -- kepada syarikat minyak, kepada pengedar dan juga kepada rakyat yang ada dalam negara kita,” kata Hamzah.
Sehubungan itu, beliau berharap rakyat juga akan memahami tekanan yang dihadapi 3,500 pengusaha stesen minyak di seluruh negara apabila harga minyak berterusan turun.
Beliau ditemui selepas majlis pengagihan zakat Bank Rakyat kepada 1,530 asnaf di Parlimen Larut di Arena Square, Batu Kurau, Taiping.
#bahan api #Hamzah Zainuddin #harga minyak #Kementerian Kewangan #pengusaha stesen minyak #petrol