Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Forum Hasanah 2025 perkuat definisi filantropi dengar suara rakyat

Malekah Aisyah 15/08/2025 | 10:00 MYT
Forum Hasanah 2025 dengan tema, “Filantropi Yang Mendengar, Menghubungkan Niat Dengan Intervensi” berlangsung selama dua hari dari 14-15 Ogos. - Foto Yayasan Hasanah
KUALA LUMPUR: Forum Hasanah kekal memperkukuh posisi sebagai platform utama di Malaysia bagi perbincangan mampan merangkumi sumbangan dermawan atau filantropi.


Ringkasan AI
  • Forum Hasanah kekal memperkukuh posisi sebagai platform utama di Malaysia bagi perbincangan mampan merangkumi sumbangan dermawan atau filantropi.
  • Program anjuran Yayasan Hasanah ini melibatkan pakar global bersama kira-kira 500 pemimpin tempatan ini mengetengahkan idea-idea baharu bagi memperkukuh peranan filantropi dalam membina Malaysia yang lebih inklusif, adil dan mampan.
  • Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki berkata, program kali ini mengangkat tema -Filantropi Yang Mendengar, Menghubungkan Niat Dengan Intervensi.-


Program anjuran Yayasan Hasanah ini melibatkan pakar global bersama kira-kira 500 pemimpin tempatan, mengetengahkan idea-idea baharu bagi memperkukuh peranan filantropi dalam membina Malaysia yang lebih inklusif, adil dan mampan.

Siti Kamariah ketika sesi panel Forum Hasanah 2025. - Foto Yayasan Hasanah


Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki berkata, program kali ini mengangkat tema “Filantropi Yang Mendengar, Menghubungkan Niat Dengan Intervensi.”

“Mendengar keperluan mereka yang perlu disantuni itu penting kerana apabila kita membawa satu solusi... seakan-akan kita tahu situasi mereka, tetapi secara realiti dalam lapangan dan dalam sebuah komuniti itu, mereka lebih tahu bagaimana mereka boleh keluar daripada kepompongan kemiskinan dan cabaran hidup.

“Apa yang kita buat, kita bawa suara-suara daripada lapangan ini dalam konsultasi untuk Belanjawan Malaysia yang akan datang dan sebelum ini juga, di mana setiap usaha pendanaan Malaysia itu... dan membentuk polisi adalah daripada realiti sebenar masyarakat Malaysia di luar sana... di kawasan-kawasan kampung-kampung, pedalaman, kawasan Orang Asli, golongan rentan yang harus disantuni untuk keperluan mereka sendiri.

“Dari tahun 2015 lagi, Hasanah turun ke lapangan dan satu contoh ialah kerjasama kami dengan GEC (Global Environment Centre) membantu golongan Orang Asli di Kampung Tonggang, Perak di mana antara cabaran mereka adalah semakin ramai anak muda meninggalkan kampung untuk mencari peluang pendapatan di pekan dan kota.

“Ketiadaan mereka memberi kesan kepada keutuhan identiti komuniti ini. Justeru kami berganding bahu bersama GEC dan juga komuniti untuk membina chalet dan aktiviti ekopelancongan yang mampan di halaman mereka, yang berlandaskan ilmu pengetahuan masyarakat Orang Asli seperti kesesuaian bahan binaan dan lokasi chalet yang ingin dibina.

“Malah komuniti itu sendiri yang membina chalet, dan hari ini Kayuh D’Tonggang menjadi destinasi popular untuk para pencinta alam dan aktiviti basikal lasak.

“Kawasan itu menjadi sebuah hab ekopelancongan dan ramai datang ke sana untuk meluangkan masa sehingga tempat itu “viral” dalam kalangan orang ramai.

“Dalam bentuk filantropi, kita mampu mencetuskan sistem bagi membendung cabaran semasa seperti ekopelancongan dan pendekatan komuniti... jadi kita boleh mendengar rintihan mereka sekali gus mengangkat suara-suara ini di peringkat dasar, Belanjawan negara,” katanya ketika ditemui di Forum Hasanah 2025 di The Renaissance Hotel, di sini pada Khamis.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan melawat reruai jualan selepas selesai memberi ucaptama. - Foto Yayasan Hasanah


Edisi kali ini juga dihadiri Pakar Ekonomi Kanan, World Bank Dr. Ririn Salwa Purnamasari yang berkata, inisiatif ini juga mampu memberi inspirasi kepada rakyat dan negara lain tentang kepentingan bersuara.

“Tahniah kepada Yayasan Hasanah untuk inisiatif yang mengumpulkan pelbagai pihak dalam merangka idea-idea dan kolaborasi baik antara filantropi dan rakyat.

“Filantropi sebenarnya boleh menjadi titik transformasi. Ini kerana filantropi mempunyai fleksibiliti dan pendekatan, jadi mereka boleh mendengar suara-suara rakyat secara mendalam, jadi mereka boleh, sebagai contoh, membantu membuat sumbangan dalam perkara yang paling penting bagi rakyat.

“Dengan kerjasama DOSM, kami menemubual 10,000 rakyat Malaysia berhubung kepentingan mobiliti untuk negara, dan menerusi kajian ini, rata-rata menzahirkan isu kualiti pendidikan dalam kalangan anak-anak muda, akses perkhidmatan kesihatan lebih baik dan pekerjaan yang mampu menawarkan pendapatan berbaloi.

“Jadi dengan itu, kita tahu apa yang penting untuk rakyat, kerajaan dan pihak-pihak berwajib harus meneliti isu ini dan dengan bantuan filantropi, dan sesi seperti ini semoga suara-suara ini sampai kepada mereka”, jelasnya.

Tetamu Forum Hasanah 2025 membanjiri reruai jualan barangan tradisional buatan tangan dari Sook, Sabah. - Foto Yayasan Hasanah


Selain sesi panel, forum turut menampilkan reruai jualan dari komuniti yang disokong Yayasan Hasanah, merentasi segenap lapisan masyarakat.


#THF2025 #Forum Hasanah 2025 #Yayasan Hasanah #Kementerian Kewangan Malaysia MOF #filantropi #isu semasa rakyat