Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan mengingatkan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh agar tidak mempolitikkan isu bauksit kerana dibimbangi akan mengelirukan penduduk setempat.

Sebaliknya, beliau menggesa Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bersama-sama membantu melancarkan usaha pembersihan kawasan yang terjejas bauksit demi kepentingan rakyat.

"Saya minta Fuziah supaya menyakinkan pengundi beliau di Kuantan untuk tunggu sehingga kerajaan dapat kenal pasti pemandu lori haram ini atau tuan punya syarikat haram ini barulah kita membersihkan jalan di Kuantan.

"Jadi jangan politikkan isu ini. Fuziah mengambil pendekatan yang amat singkat menerusi pandangan beliau," katanya ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kenderaan dan Peralatan Kebombaan di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Fuziah membidas Abdul Rahman kerana didakwa mengambil tempoh yang lama untuk mengesan syarikat terlibat dengan isu bauksit.

Tegasnya, kerja pembersihan bauksit perlu dilakukan terlebih dahulu walaupun syarikat-syarikat yang sepatutnya menerima bil pembersihan belum dikenal pasti.

Beliau berkata, kementeriannya sedang membuat penilaian kos pembersihan yang ditanggung oleh syarikat yang terlibat dengan aktiviti perlombongan bauksit itu.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) meminta kita (bomba dan penyelamat) membersihkan kawasan terjejas bauksit itu. Jadi tiada masalah besar. Mengenai kos itu kita akan kenal pasti syarikat terlibat.

"Kalau syarikat yang sah, senang untuk kita bagi bil tersebut. Namun, kalau ia syarikat yang tidak sah akan memakan masa. Bukan bermakna kita tidak akan bagi bil tersebut kepada syarikat tersebut," jelas beliau.