SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima laporan berhubung satu pergaduhan tular di kawasan tempat awam Seksyen 28, dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya mengesan satu video tular di media sosial mengenai sekumpulan lelaki bergaduh.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada Ahad jam 6.39 petang daripada mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 19 tahun.

Kata beliau, pengadu menyatakan telah diserang sekumpulan enam lelaki yang dikenali semasa berada bersebelahan dengan gelanggang bola keranjang.

"Polis turut menerima laporan daripada pihak suspek pada hari sama (Ahad) jam 7.05 petang yang turut mendakwa dipukul oleh mangsa sehingga mengalami kecederaan.

"Bagaimanapun, mangsa dalam kes ini tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Iqbal berkata, siasatan mendapati punca kejadian disebabkan mangsa telah menghalang salah seorang suspek untuk meneruskan hubungan dengan kakak saudaranya.

Sehubungan itu kata beliau, bertindak atas maklumat, satu tangkapan membabitkan dua lelaki telah dibuat pihak polis pada Isnin jam 3.36 petang.

Katanya, kedua-dua suspek yang berusia 19 dan 25 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

Jelasnya, kedua-dua suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau iaitu kes dadah dan jenayah.

Tambahnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati salah seorang suspek yang berusia 25 tahun didapati positif dadah.

Menurut beliau, reman bagi kedua-dua suspek telah dipohon di Mahkamah Shah Alam dan tahanan reman dibenarkan selama tiga hari bermula semalam sehingga Rabu.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu memiliki senjata maut dalam rusuhan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Syer Aidid di talian 013-6544996," ujarnya. - Sinar Harian