MALAYSIA
Gaduh luar stadium tidak libatkan penyokong - Polis

Polis mengesahkan berlaku satu pergaduhan melibatkan orang awam di kawasan trak makanan berhampiran pekarangan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras, Kuala Lumpur, malam tadi.
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan berlaku satu pergaduhan melibatkan orang awam di kawasan trak makanan berhampiran pekarangan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras, di sini, malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Ridzuan Khalid berkata, kejadian dilaporkan sekitar jam 11.15 malam oleh kakitangan petugas stadium.
Menurut beliau, anggota polis yang dikerahkan ke lokasi mendapati keadaan telah kembali tenang dengan kumpulan yang terlibat sudah bersurai.
"Tiada kecederaan atau kemalangan dilaporkan. Video kejadian dipercayai dirakam orang awam dan dikongsikan melalui fungsi ‘airdrop’."Namun, individu yang merakam video tersebut tidak dapat dihubungi,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.
Beliau menegaskan, pergaduhan itu tidak melibatkan kumpulan penyokong mana-mana pasukan, manakala identiti pelaku tidak dapat dikenal pasti kerana mereka bersurai sebelum polis tiba.
Setakat ini, tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung insiden berkenaan.
Sehubungan itu, polis menyeru untuk mana-mana individu atau pihak yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan di mana-mana balai polis berhampiran.
Pada Rabu, tular video pergaduhan berlaku di luar pekarangan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras sebaik aksi antara Kuala Lumpur City FC (KL City) dan Sabah FC berakhir di ibu negara, malam tadi.
Tumbuk menumbuk dan balingan kerusi berlaku di kawasan tempat parkir kereta yang dijadikan medan makan 'food truck'.
Berdasarkan video yang sempat diambil, sekurang-kurangnya 10 hingga 20 orang terbabit dalam pergaduhan itu.
Situasi panas kemudiannya kembali tenang apabila pihak polis yang berada di kawasan terbabit mendekati kumpulan berkenaan.
Namun, kesemua mereka melarikan diri sebelum sempat ditahan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami