MALAYSIA

Gagal isytihar pendapatan, "influencer" mungkin dalam pantau LHDN - Peguam

Bernama 04/12/2025 | 10:00 MYT
LHDN boleh mengeluarkan "penilaian berdasarkan anggaran terbaik".
KUALA LUMPUR: Perjanjian bernilai tinggi dengan jenama terkenal, kereta mewah dan gaya hidup glamor yang sering dipamerkan pempengaruh media sosial boleh menyebabkan mereka dalam pemantauan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) jika gagal mengisytiharkan pendapatan masing-masing, kata peguam Nur Amira Ahmad Azhar.

Peguam daripada Rosli Dahlan Saravana Partnership itu berkata LHDN boleh mengeluarkan "penilaian berdasarkan anggaran terbaik", iaitu dengan menganggarkan pendapatan individu tersebut berdasarkan kepada penyata bank, pembelian bernilai tinggi, hartanah, kereta malah menerusi gaya hidup ditampilkan, yang boleh mengakibatkan bil cukai lebih tinggi.

"Pendapatan daripada tajaan, kerjasama dengan jenama besar, jualan affiliate, memperomosikan produk, jualan barangan dalam talian atau penjanaan wang melalui YouTube mahupun TikTok dianggap sebagai pendapatan perniagaan atau bekerja sendiri dan boleh dikenakan cukai di bawah Seksyen 4 (a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

"Dengan kata lain, apabila ia bersifat pendapatan tetap atau berniat komersial, LHDN menganggap ia sebagai perniagaan walaupun ia dilakukan dari rumah, tanpa syarikat atau sebagai aktiviti sampingan. Secara praktiknya, LHDN boleh menganggap kebanyakan deposit bank sebagai pendapatan melainkan mereka dapat membuktikan sebaliknya dan dianggap sangat kecil atau tiada perbelanjaan yang boleh ditolak kerana tidak menyimpan rekod yang betul.

"Apabila penilaian berdasarkan anggaran terbaik ditimbulkan, beban untuk membuktikan bahawa pendapatan itu adalah lebih rendah atau mempunyai perbelanjaan perniagaan yang sah akan beralih kepada mereka (pempengaruh)," katanya.

Nur Amira berkata tanpa invois, resit, kontrak atau rekod akaun yang betul, LHDN lazimnya akan menolak tuntutan perbelanjaan sekali gus menyebabkan pembayar cukai kemungkinan perlu membayar cukai bersama penalti dan caj lewat bayar atas jumlah yang lebih tinggi, yang sebenarnya boleh dikurangkan jika mereka membuat pengisytiharan yang tepat sedari awal.

Beliau juga mengingatkan bahawa kegagalan untuk mengisytiharkan pendapatan boleh membawa akibat yang serius termasuk risiko muflis dan sekatan perjalanan.

Nur Amira menasihatkan pempengaruh yang tidak mengisytiharkan pendapatan mereka daripada tahun-tahun sebelum ini agar membuat pengakuan sukarela kepada LHDN bagi mengelakkan penalti yang lebih berat.

"Isytiharkan pendapatan, serahkan borang cukai dan bayar cukai seperti yang sepatutnya. Pendekatan sukarela dilihat lebih baik berbanding menunggu untuk audit. Secara ringkas, jika wujud pendapatan ia mesti diisytiharkan. Rekod yang baik dapat melindungi anda begitu juga sebaliknya," katanya.

--BERNAMA





#LHDN #influencer #audit LHDN #pemantauan LHDN