KUALA LUMPUR: Sebanyak 188 daripada 810 tapak pembinaan yang beroperasi di seluruh negara sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan telah diarah tutup serta-merta.

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan angka itu diperoleh hasil 4,208 pemeriksaan tapak pembinaan yang dijalankan dari 1 Jun hingga semalam.

"Hasil 4,208 pemeriksaan ke atas tapak pembinaan ini, didapati sebanyak 3,398 tapak pembinaan tidak beroperasi manakala 810 tapak pembinaan lagi masih beroperasi.

"Daripada jumlah itu (810), sebanyak 188 atau 23 peratus tapak pembinaan didapati tidak mematuhi SOP dan telah diarahkan tutup manakala 77 peratus tapak lagi patuh pada SOP ditetapkan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut 56 tapak binaan yang ditutup terletak di Sarawak diikuti Selangor (42), Melaka (15), masing-masing 11 di Sabah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, Johor (sembilan), Negeri Sembilan (lapan), masing-masing enam di Terengganu dan Pahang, Perak (lima), tiga di Kedah dan Perlis serta Kelantan (dua).

Bagaimanapun, menurut CIDB daripada 188 tapak pembinaan yang diarah tutup itu, 42 daripadanya dibenarkan dibuka semula selepas mematuhi SOP ditetapkan.

Pada masa sama, CIDB turut mengingatkan penggiat industri pembinaan supaya mematuhi SOP PKP 3.0 terkini yang boleh dimuat turun di www.cidb.gov.my untuk mengelak daripada dikenakan tindakan tegas termasuk penggantungan dan/atau pembatalan Perakuan Pendaftaran Kontraktor.

Agensi itu turut memaklumkan kontraktor yang melanggar peruntukan Akta 520 atau undang-undang bertulis lain termasuk Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) serta Akta 446 (Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990), juga boleh dibawa ke prosiding tindakan tatatertib kontraktor.

-- BERNAMA