Skip to main content

Malaysia

Gajah dibunuh kejam: Muka, mulut dipotong berbentuk 'L'-JHL Sabah

Sumber: Sinar Harian
Gajah yang dibunuh dengan kejam ditemukan di kawasan Hutan Simpan Sungai Pinangah, Tongod.

KOTA KINABALU: Bahagian muka dan mulut gajah Pygmy Borneo yang ditemukan mati dalam keadaan menyayat hati di kawasan Hutan Simpan Sungai Pinangah, Tongod, didapati dipotong berbentuk ‘L’ dipercayai menggunakan alat tajam.

Perkara itu didedahkan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah susulan penemuan bangkai seekor gajah jantan Borneo (Elephas maximus borneensis) yang sebelum ini dilaporkan ditemukan dalam keadaan sebahagian kepala dan gadingnya hilang dipercayai dipotong.

Menurut kenyataan JHL Sabah, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan bangkai gajah yang disyaki mempunyai unsur jenayah hidupan liar itu kira-kira jam 8.25 pagi pada Isnin lalu.

Katanya, bangkai haiwan berkenaan ditemui oleh pengurus Ladang Maxland Tongod bersama tiga kakitangannya semasa menjalankan rondaan rutin sekitar jam 6.20 pagi sebelum laporan dibuat kepada pihak jabatan untuk tindakan lanjut.

“Susulan laporan diterima, seramai empat kakitangan jabatan bersama tiga Renjer Komuniti telah menjalankan pemeriksaan awal di lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan mendapati seekor gajah dipercayai spesies Gajah Borneo ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa dengan bahagian muka dan mulut dipotong berbentuk ‘L’ menggunakan alat tajam,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

Menurut kenyataan itu lagi, gajah berkenaan dikenal pasti sebagai gajah jantan dewasa dengan anggaran ketinggian 2.9 meter serta berusia antara 30 hingga 40 tahun.

Katanya, pemeriksaan lanjut termasuk bedah siasat oleh pegawai veterinar jabatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian haiwan tersebut.

“Jabatan memandang serius kejadian ini dan telah mempergiatkan pemeriksaan serta pemantauan penguatkuasaan secara serta-merta di kawasan berkaitan bagi mengesan sebarang aktiviti atau pergerakan mencurigakan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan jenayah hidupan liar.

“Operasi penguatkuasaan bersepadu turut dipertingkatkan melalui kerjasama strategik bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) - Wildlife Crime Bureau (WCB), Jabatan Perhutanan Sabah, Rapid Response Team (RRT), Renjer Komuniti Jabatan serta agensi penguatkuasaan berkaitan yang lain,” katanya.

Tambah kenyataan itu, rondaan berkala, sekatan jalan raya (SJR), pemantauan kawasan hotspot serta pengumpulan maklumat risikan sedang dipergiatkan secara berterusan bagi mengesan dan membawa pihak terlibat ke muka pengadilan.

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian turut diminta menyalurkannya segera kepada JHL Sabah,” katanya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan satu lagi gajah dibunuh dengan kejam apabila bahagian kepalanya dipenggal dan ditinggalkan di kawasan Hutan Simpan Sungai Pinangah, Tongod.

Penemuan bangkai gajah ini adalah yang pertama bagi tahun ini, namun kejadian serupa pernah berlaku pada tahun lalu apabila beberapa ekor haiwan tersebut ditemukan mati dalam keadaan tanpa kepala. - Sinar Harian

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement